Nasional

LKIM mohon peruntukan tambahan RM2 juta kukuhkan KESAN

RM 14,000 akan disalurkan untuk baiki bot tekong yang terbalik

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memohon peruntukan tambahan RM2 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memperkasakan Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN).

Ketua Pengarahnya, Othman Abdul Latiff berkata kepada pemberita, peruntukan berkenaan adalah bagi menampung keperluan yang diperlukan mereka ketika membantu pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku tragedi di laut.

“Sehingga kini hanya RM1.5 juta yang diperuntukkan bagi menampung keperluan mereka termasuk minyak bot, makanan dan peralatan menyelamat ketika berlaku kejadian tidak diingini di laut.

“Malah dengan adanya peruntukan tambahan ini , kita akan dapat melatih lebih ramai nelayan menyertai KESAN,” katanya hari ini.

Terdahulu, Othman meluangkan masa menziarah mangsa bot terbalik di perairan Bachok Isnin lalu iaitu tekong bot berkenaan, Hazahar Mat Sanishah, 48, dan Hasan Bakar di kediaman mereka di Kampung Kuala Besar.

Turut hadir, Pengarah LKIM Kelantan, Mastam Nodo dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kelantan, Ilias Hassan.

Dalam kunjungan berkenaan, Othman turut menyampaikan sumbangan kilat sebanyak RM1,000 seorang bagi meringankan beban mangsa selain turut menyampaikan makanan keperluan asas.

Othman berkata, KESAN ditubuhkan sejak  2017 memandangkan para nelayan mempunyai pengalaman ketika berada di laut.

Mereka akan bersama-sama dengan anggota keselamatan yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekiranya berlaku tragedi di laut, kata Othman.

“Sehingga kini kita mempunyai 89 persatuan nelayan di seluruh negara dan setiap persatuan hendaklah melatih 10 sukarelawan daripada mereka untuk menyertai KESAN dan setiap tragedi yang berlaku sebanyak RM5,000 akan disalurkan kepada KESAN untuk membantu kerja-kerja menyelamat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam kejadian tragedi bot terbalik di perairan Bachok Isnin lalu, pihaknya akan menyalurkan bantuan baik pulih kepada Hazahar yang juga tekong bot yang terbalik itu, sebanyak maksimum RM14,000 di bawah Skim Bantuan Bencana dan Tabung Bencana Kebajikan Nelayan.

“Kita harap dengan adanya bantuan ini, ia dapat meringankan beban mangsa untuk membaik pulih botnya yang terbalik termasuk membeli peralatan baru.

“Malah, dalam operasi SAR tempoh hari juga, pihak kami turut menyalurkan bantuan 3,000 liter minyak diesel untuk kerja menyelamat dan mencari mangsa yang terlibat, serta menunda vesel TRF 641 yang telah karam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan nelayan rekreasi agar sentiasa menitikberatkan soal keselamatan dan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah ditetapkan ketika berada di lautan. – BERNAMA-SM

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button