Bola SepakSukan

KAFA rayu derma daripada penyokong untuk bayar gaji bekas pemain

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta penyokong The Red Warriors (TRW) membantu dari segi kewangan bagi menyelesaikan isu pembayaran gaji bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus untuk mengelak pasukan itu dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata pihaknya tidak mempunyai banyak masa dan pilihan terutamanya selepas Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan berikutan wabak COVID-19 dan kini berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyukarkan pihak persatuan untuk mendapatkan sumber kewangan.

“Sekarang ini kami tidak mencukupi sumber kewangan bagi membayar tuntutan ditambah lagi segala urus niaga bersama rakan kongsi termasuk jualan jersi terhenti dan bakal penaja yang dijadual bersama kami pada Jun depan juga mengambil langkah berdiam diri.

“Justeru KAFA memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong bola sepak Kelantan untuk menderma kepada kami seberapa yang mampu secara dalam talian (online) untuk membolehkan KAFA membayar segala tuntutan yang diarahkan oleh FIFA,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, FIFA mengarahkan KAFA membayar tunggakan gaji bekas pemain import dari Brazil itu berjumlah RM629,620.28 atau bakal berdepan tindakan keras.

Ahmad Muzakkir berkata sekiranya persatuan itu tidak dapat menjelaskan apa jua tuntutan yang diarahkan oleh FIFA, ia akan merumitkan persatuan untuk membentuk pasukan bagi bersaing dalam Liga Perdana dan berkemungkinan KAFA akan dikenakan tindakan lebih berat.

“Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari semasa ke semasa kepada penyokong, dan dengan rasa rendah diri KAFA merayu serta menagih simpati kepada semua untuk membantu dalam hal ini demi pasukan kesayangan kita,” katanya.

Sumbangan daripada penyokong boleh disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan di akaun bernombor 5530 1063 0676 Maybank dan resit derma boleh dihantar melalui WhatsApp ke nombor 013-9283293. – BERNAMA

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button