Nasionalpilihan

Sedih sedekah minuman percuma pun kena kecam

“Saya bersedekah air percuma kerana mahu mengumpul pahala namun tidak sangka ada pihak fitnah kata saya kenakan bayaran dan macam-macam lagi di laman sosial,” itulah luah seorang lelaki Azizan Baharom, 64, dari Bukit Beruang dekat sini.

Dia tidak menyangka sama sekali usahanya memberi minuman percuma kepada orang ramai di depan pintu masuk Masjid Selat, Pulau Melaka di sini disalah erti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Azizan berkata, ada pihak turut mendakwa dia mengenakan caj RM1 bagi cawan kertas yang disediakan tetapi menegaskan dia tidak mengenakan sebarang caj tersebut.

Katanya, itu adalah asam garam yang perlu dilalui dan situasi itu tidak melemahkan semangat ikhlasnya untuk terus memberikan minuman percuma kepada orang ramai setiap hujung minggu.

Ujarnya, dia menginfakkan minuman percuma sejak awal tahun ini bukan mencari untung sebaliknya mencari pahala sebelum dia menutup mata.

“Itu niat saya beri minuman percuma kepada orang ramai kerana ingin bersedekah dan mencari pahala. Tiada niat saya nak cari untung dan saya tidak pernah kenakan sebarang bayaran.

“Tanyalah pada orang ramai yang datang ke tempat saya, pernah ker saya minta bayaran?

“Ada orang tanya berapa harga, saya cakap minumlah, ini percuma. Ambilah minuman seberapa banyak yang mahu tapi jangan membazirkannya.

“Tetapi ada juga orang yang tetap menghulurkan wang saya tolak tetapi mereka cakap pakcik ambillah untuk sedekah atau pakcik buatlah tabung untuk orang sedekah,” ujarnya.

Azizan yang sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak berkata, mengambil nasihat itu dia menyediakan tabung infak untuk orang ramai bersedekah.

Katanya, duit daripada tabung itu juga digunakan untuk membeli cawan kertas selain menambah minuman daripada tiga jenis kepada empat jenis rasa.

Ujarnya, dia menyediakan tiga air percuma berlainan rasa tiga hari seminggu bermula pada Jumaat hingga Ahad sahaja bermula antara pukul 2.00 atau 3.00 petang.

“Macam minggu ini saya buatkan kopi O gula Melaka, milo ais dan tea o ais limau. Ada ketika saya buat air sirap, lychee dan teh tarik,” ujarnya.

Katanya, dia puas apabila melihat orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum gembira dengan pemberian minuman percuma itu dan cukup dengan hanya mereka berkata terima kasih. – SM

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button