NasionalRencah Hidup

Gangguan air: Pemilik tanah ikhlaskan bina perigi untuk kegunaan umum

MEMAHAMI kesulitan yang dihadapi orang ramai berikutan gangguan bekalan air di Selangor, pemilik tanah rela hati kawasannya digali perigi.

Ia bertujuan bagi mendapatkan sumber bekalan air bagi kemudahan orang awam khsusnya penduduk di Kampung Batu 7, Jalan Kebun di Seksyen 30, Shah Alam.

Malah ada pemilik yang memiliki perigi berusia lebih 100 tahun masih digunakan penduduk tempatan untuk mendapatkan bekalan air.

“Saya memang ikhlaskan air perigi ini untuk penduduk kampung, memahami akan keperluan dan kehendak mereka.

“Jadi, memang saya halalkan dan ikhlaskan perigi ini untuk kampung.”

Kata salah seorang pemilik tanah di sana, Amiruzi Ahmad Surian, 55, ketika ditemui wartawan Suara Merdeka di Lorong Bakri, Jalan Kebun, hari ini.

Beliau mewarisi perigi tersebut sejak dari zaman arwah datuknya dan mendakwanya sudahpun berjasa kepada orang ramai saban tahun.

“Sudah ramai orang menggunakan perigi ini, tidak terkira…banyak.

“Ada juga pada kira-kira dua tahun sudah ketika krisis bekalan air ketika itu lebih kurang seminggu lebih, ramai yang datang ke sini.

AMIRUZI

“Ada yang datang dari Berjaya Park, Kota Kemuning mengambil air di sini tidak kira waktu.

“Mereka memang tahu ada perigi di sini dan kita letak hebahan di Facebook dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik tanah di lorong sama, Ahmad Faizal Shahruni, 45, turut menyatakan sepakat adik-beradiknya untuk membina perigi.

Menurutnya, perbincangan dengan adik-beradik beliau diadakan dahulu bagi mendapatkan persetujuan demi kemaslahatan penduduk tempatan.

“Perancangan ini sebenarnya sudah lama diusulkan cuma kita tiada tempat lagi hendak buat perigi.

“Mungkin Allah sudah gerakkan hati (untuk menyumbang). Ini pun sebenarnya tanah adik beradik saya.

“Saya berbincanglah dengan adik beradik, boleh ke hendak buat perigi dengan keadaan sukar untuk mendapatkan air,” katanya.

AHMAD FAIZAL

Tambah beliau, sebaik keputusan dibuat, perigi terus digali dalam masa 24 jam dan berharap perigi tersebut akan bertahan lama.

Sementara itu, Kamaruddin Kassim memaklumkan kawasan rumahnya di Lorong Haji Kassim akan kembali menjadi tumpuan orang untuk mendapatkan bekalan air.

Menurutnya, kali terakhir orang mendapatkan bekalan air perigi di sana adalah sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an.

“Walau bagaimanapun, asal usulnya dahulu memang di tempat saya ini orang ambil air perigi pada tahun 1960-an dan 1970-an. Sinilah tempatnya.

“Itu perigi lama, sekarang sudah tak ada. Sebab itulah kita buat yang baharu sebab air di sini memang bersih dan boleh terus diminum.

“Mula gali perigi di sini pada pukul 9.30 pagi (Ahad) menggunakan jentera dan kita sama-sama bergotong-royong.

KAMARUDDIN KASSIM

“Bersama ahli jawatankuasa (AJK) Lorong Haji Kassim, memang ramailah pagi tadi hampir 30 orang sebab komuniti di sini Alhamdulillah, sepakat,” ujarnya.

Terdahulu penduduk di Kampung Batu 7, Jalan Kebun bersama Persatuan Anak Jati Jalan Kebun (Anak Jati) mengadakan gotong royong menggali perigi.

Tiga buah perigi digali, dua daripadanya di Lorong Bakri dan sebuah lagi di Lorong Haji Kassim.

Penggalian perigi itu dibuat bagi membantu orang awam dan penduduk tempatan mendapatkan bekalan air susulan berlaku gangguan di Lembah Klang.

Gangguan tersebut disebabkan berlaku pencemaran pada sumber air mentah yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihentikan operasi.

LRA yang dihentikan operasinya iaitu Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 serta Rantau Panjang menyebabkan bekalan air terjejas di 1,292 kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. – SM

(Visited 756 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button