Nasional

Kabinet telah nasihatkan Agong batal semua Ordinan Darurat

KABINET telah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 23 Julai untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Pejabat Perdana Menteri berkata, nasihat tersebut susulan perbincangan Jemaah Menteri pada 21 Julai yang komited untuk menamatkan darurat pada 1 Ogos 2021.

Jemaah Menteri antara lain mengambil keputusan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat tamat.

Pada 22 Julai Pejabat Perdana Menteri telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 dari Jabatan Peguam Negara Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

Ordinan tersebut memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai.


“Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

“Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah telah menintahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idris Harun wajib untuk menghadap pada 24 Julai berhubung perkara tersebut.

Pada majlis itu Takiyuddin dan Idris telah memberikan penjelasan terperinci kepada Baginda mengenai nasihat untuk menamatkan darurat pada 1 Ogos.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, semua Ordinan Darurat juga telah dibentang (laid) di atas meja Ahli-ahli Parlimen apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

“Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus,” katanya.

Perdana Menteri dan Peguam Negara turut menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 12 tengah hari 27 Julai  untuk menjelaskan persoalan mengenai status perkenan Al-Sultan Abdullah  ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

Perdana Menteri sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat
tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin turut memberikan penjelasan kepada Baginda berhubung kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

“Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.

“Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula,” jelasnya.

Pejabat Perdana Menteri berpandangan semua tindakan yang diambil adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

Muhyiddin menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan memberi harapan isu yang berbangkit akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.-SM

(Visited 596 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button