Analisis

Perjuangan terakhir seorang negarawan

USIA beliau sudah menjangkau hampir 100 tahun. Langkah beliau juga semakin perlahan. Tetapi pemikiran beliau masih lagi tajam. Bahkan semangat beliau memperjuangkan Melayu masih kental.

Itulah negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apa yang ada di negara ini sebahagian besarnya adalah bekas air tangan beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

Selepas ini mungkin tidak ada lagi pemimpin yang dapat menandingi beliau. Orang politik kecoh soal pembangunan di Selangor kononnya kerana ditadbir oleh Pakatan Harapan, begitu juga Pulau Pinang. Walaupun hakikatnya mereka lupa semua itu adalah hasil usaha dan pemikiran Dr. Mahathir.

Bahkan pejabat perdana menteri dan Putrajaya yang tersergam indah itu juga adalah dari usaha Dr. Mahathir. Beliau tidak menjerit reformasi dan sebagainya. Beliau hanya melaung “Kita Boleh”. Laungan itu memberi keyakinan kepada seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Dr. Mahathir seorang mahaguru retorik yang membuktikannya dengan kerja keras beliau. Kita biasa dengar beliau masuk kerja seawal 7 pagi. Jadi para pegawai dan menterinya terpaksa masuk lebih awal lagi. Beliau sendiri banyak membaca dan dapat dilihat di atas meja sentiasa penuh dengan buku dan dokumen.

Jadi untuk menjadi menteri kabinet beliau seseorang harus istimewa dan bukan seorang badut, pelacur serta pelancong politik.

Kehebatan beliau adalah mampu melihat lebih jauh daripada orang lain. Sesuatu yang dilontar sering mendapat bantahan dan kritikan umum, tetapi selepas dibuktikan ia mampu dilaksanakan dan merupakan yang terbaik untuk negara akhirnya semua akur dan tunduk hormat.

Bukan sahaja rakyat negara ini hormat beliau, bahkan serata pelosok dunia tunduk hormat dan kagum dengan beliau, hingga ada yang cuba mengambil kredit daripada kejayaan negara dengan mengaku dialah yang membawa Malaysia muncul jaguh ekonomi rantau ini.

Kini Tun Dr. Mahathir menggerakkan Proklamasi Penyatuan Melayu. Kelihatan ia satu lagi retorik yang dibawa oleh pemimpin itu. Bagaimanapun semakin hari ia semakin mendapat momentum.

Beliau sedar pentingnya orang Melayu untuk kembali bersatu bagi merampas kembali kuasa politik yang semakin terlepas daripada genggaman akibat dipengaruhi anasir-anasir serta pemimpin yang bermasalah dan berkepentingan.

Orang Melayu dan bumiputera di negara ini adalah kaum majoriti. Justeru mereka harus kembali menguasai politik bagi memastikan kestabilan itu dikembalikan. Dr. Mahathir sudah 80 tahun di dalam arena politik cukup faham akan situasi itu.

Sebelum ini negara ini sentiasa aman dan makmur sehingga pelabur berpusu-pusu masuk ke negara ini. Pembangunan dan kemakmuran dapat dirasakan oleh seluruh rakyat. Semuanya adalah kerana perpaduan yang merangkul semua kaum di negara ini, menjadikan ia satu kekuatan yang luar biasa.

Persoalannya mampukah Dr. Mahathir melaksanakan sekali lagi tanggungjawab berat itu?

 

(Visited 456 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button