Rencah Hidup

Prof. Dr. Moi Meng Ling anak jati Kuala Lumpur terima Anugerah AMED Jepun

DOKTOR Moi Meng Ling anak kelahiran Kuala Lumpur adalah seorang Penyelidik atau Researcher. Beliau merupakan perintis asas pembangunan vaksin mencegah demam denggi di Jepun.

Kerjaya Dr. Moi melayakkan beliau dianugerahkan dengan anugerah daripada Agensi Pembangunan dan Penyelidikan Perubatan (AMED) Jepun.

Anugerah yang diterimanya itu turut dinilai pada kerja-kerja penyelidikan yang telah dilakukannya termasuk penyelidikan tentang wabak zika.

Menurut Dr. Moi, vaksin penyakit denggi perlu menjalani beberapa fasa ujian bagi membuktikan keberkesanan dan tahap keselamatannya untuk kegunaan jangka masa panjang.

Beliau berkata, kajian ini penting bagi Malaysia dan menjadi hasratnya untuk membentangkan kemajuan teknologi yang dibangunkan dengan kerjasama negara ASEAN dan Jepun.

“Pembasmian denggi dan zika perlu dilakukan segera dan saya tidak nampak bahawa vaksin denggi dapat dibangunkan dengan pantas.

“Namun kita sudah melihat bagaimana kita boleh menggunakan kepantasan teknologi untuk membangunkan vaksin baharu Covid-19 untuk digunakan dalam pembangunan vaksin denggi dan zika,” katanya yang menjadi warga asing pertama menerima anugerah itu di Jepun.

Beliau berkata demikian pada sidang video yang turut dihadiri Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka.

Anugerah AMED diberikan kepada mereka yang memberi sumbangan besar kepada penyelidikan dan kemajuan dalam bidang perubatan.

Untuk rekod, Dr. Moi kini menjadi profesor di Institut Perubatan Tropika di Universiti Nagasaki di Jepun.

Katanya lagi, penyelidikan untuk mencari vaksin denggi amat penting di Malaysia kerana penyakit itu boleh mencetuskan wabak lebih buruk pada masa akan datang.

“Sebagai bekas pesakit denggi, saya berpendapat penyelidikan mengenai vaksin denggi paling kurang diterokai, berbanding virus influenza atau batuk kering,” ujarnya.

Beliau juga menyumbang dalam penyelidikan mengenai tindak balas imun dan penyakit serius terhadap pesakit denggi dan berjaya menghasilkan model biologi untuk pembangunan vaksin dan terapi terhadap penyakit ini.

Dr. Moi juga melakukan kajian mengenai langkah pencegahan penyakit virus bawaan arthropoda terutama denggi khususnya untuk memahami asas pengembangan vaksin yang berkesan untuk mencegah demam denggi. – SM

(Visited 526 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button