Nasionalpilihan

Shahrin Muharam, Sazali Muhd Din menang tanpa bertanding

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah menarik diri di saat akhir daripada mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti 18 Mac ini.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, keputusan yang diambil oleh bekas Ahli Parlimen Tangga Batu itu sekali gus memberi laluan kepada muka baharu Shahrin Muharam menang jawatan itu tanpa bertanding.

“Saya ingin sampaikan penghargaan tinggi kepada saudara saya (Abu Bakar) kerana berjiwa besar apabila memberi laluan kepada Shahrin yang juga Ketua Cawangan Terendak Permai menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada bendahari bahagian Datuk Abd. Rahman Bakar yang juga turut menarik diri bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian dan sekali gus memberi laluan kepada penyandang Datuk Sazali Muhd. Din menang tanpa bertanding,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas proses cabutan undi calon yang bertanding jawatan peringkat UMNO Bahagian Tangga Batu di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini semalam.

Abu Bakar memenangi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan parti 2013 manakala Sazali yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput pula mengekalkan jawatan yang dimenangi buat penggal ketiga.

Keputusan tersebut menyaksikan hanya Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara bakal berdepan satu lawan satu mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian berdepan ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pada 18 Mac ini.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, beliau menyifatkan mereka yang menawarkan diri bertanding pada pemilihan peringkat bahagian ibarat pertandingan dalam satu keluarga.

“Yang kalah tidak akan kalah semua dan yang menang tidak menang semua. Saya harap selepas tarikh 11 dan 18 Mac ini hubungan kita semua kembali bertaut bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” ujarnya yang turut bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Sementara itu isteri kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, Datin Seri Fadilah Abdullah bertanding jawatan Ketua Wanita Bahagian berdepan penyandang jawatan itu Datuk Noradibah Abdullah. – SM

(Visited 454 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button