Nasional

Jurujual wanita didenda RM1,000 langgar PKP4

PESANAN demi pesanan daripada kerajaan, Menteri Kanan (Keselamatan), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) agar seluruh rakyat Malaysia patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartawakan buat pertama kalinya sejak 18 Mac lalu.

Sehinggalah PKP Bersyarat (PKPB) diwartawakan demi menjaga keselamatan seluruh warga dengan akhirnya kerajaan memberi kelonggaran termasuk membenarkan orang ramai membeli makanan secara bungkus dan terus pulang ke rumah selepas itu.

Larangan yang menegah orang ramai berkumpul atau berbual-bual selepas membeli makanan, masih berkuat kuasa dan semua sedia maklum, denda maksima yang dikenakan ke atas individu yang melanggar PKP ialah RM1,000.

Melanggar PKP bermakna individu terus dihadapkan ke mahkamah dan terpulang kepada budi bicara Hakim mahkamah sama ada menjatuhkan hukuman denda maksima atau pun jika ‘bernasib baik’, hanya dikenakan denda RM800 sahaja.

Nasib seorang jurujual wanita yang keluar rumah untuk membeli makanan secara bungskus atau tapau di sebuah restoran di Pusat Bandar Rawang, Selangor.

Wanita ini selepas membeli makanan, sepatutnya terus pulang ke rumah tetapi dia mengambil risiko untuk berborak dengan rakannya.

Ekoran itu, dia didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana melanggar PKP4 atau Perintah Kawalan Pergerakan fasa empat.

Memetik laporan BERNAMA, Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Teng Li Chin, 57, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya  gagal membayar denda.

Dia didakwa dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah yang menghendakinya berada dalam rumah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dia melakukan kesalahan itu di Restoran Try To Eat, Jalan Bandar Rawang 2, Pusat Bandar Rawang pada  4 petang, 1 Mei lepas.

Li Chin dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan sama, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon kepada mahkamah agar hukuman setimpal diputuskan terhadap wanita itu.

Bagaimanapun peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Li Chin memohon hukuman denda minima kerana anak guamnya telah insaf atas perbuatannya.

“Pada hari kejadian anak guam saya  telah pergi membeli makanan di sebuah restoran namun dia tidak terus pulang ke rumah sebaliknya dia bersembang dengan rakannya di restoran berkenaan,” kata peguam itu. – SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button