NegeriTravel

Sabah terima penerbangan antarabangsa pertama dari Singapura pada 16 April

MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, negeri di bawah bayu itu dijadual menerima kemasukan penerbangan antarabangsa pertama dari Singapura pada 16 dan 29 April ini selepas pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lepas.

Beliau berkata, penerbangan berkenaan adalah melalui pesawat AirAsia dan Scoot iaitu penerbangan tambang murah Singapura.

“Saya yakin ramai pelancong Singapura yang menanti penerbangan ke Sabah kerana sebelum ini, saya mendapat jemputan bersama ejen pelancongan Singapura untuk berbincang mengenai perkara ini tetapi pintu sempadan masih ditutup pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Juadah Keluarga Malaysia anjuran Sutera Harbour Resort, malam tadi.

Jafry berkata, selain Singapura, penerbangan dari Brunei Darussalam juga akan beroperasi ke Sabah bermula pada 6 Mei depan dengan dua kali penerbangan seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Ahad.

Sementara itu, Program Juadah Keluarga Malaysia anjuran Sutera Harbour merupakan aktiviti tahunan resort berkenaan yang diadakan setiap kali Ramadan.

Bagaimanapun, kata Jafry, sejak wabak Covid-19 melanda negara dua tahun lepas, ia dihentikan buat sementara waktu.

Beliau berkata, dengan peralihan ke fasa endemik mulai 1 April baru-baru ini, ia akan membolehkan lebih banyak resort mahupun hotel menyediakan hidangan atau juadah pelbagai jenis makanan dan sekali gus memeriahkan suasana Ramadan kali ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour Resort, Gilbert Ee berkata, Juadah Keluarga Malaysia akan bermula pada pukul 6 petang setiap hari sehingga 10 malam dengan harga RM138.00 untuk dewasa dan RM70.00 untuk kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun.

Beliau berkata, lebih 300 juadah berbuka puasa yang disahkan halal disediakan selain persembahan ghazal istimewa akan dimainkan semasa berbuka puasa dan kemudahan surau turut disediakan untuk tetamu menunaikan solat maghrib serta tarawih. – SM

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button