BeritaNasional

Junjung sikap keperwiraan dan kehormatan tentera

TBILISI (Georgia) – Seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan agar berpegang teguhlah kepada disiplin tentera dan sentiasa menjunjung tinggi sikap keperwiraan dan kehormatan tentera.

Perkara-perkara yang melibatkan salah laku dan dorongan kepada tindakan luar batasan boleh mencemari imej negara serta nama baik ATM haruslah dihindari.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ibupejabat industri saintifik dan teknikal pertahanan terulung milik Kerajaan Negara Georgia yang ditubuhkan dalam tahun 2010 iaitu STC Delta di Monk Gabriel Salos Ave, Tbilisi baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut dan dipersembahkan taklimat oleh Pengarah Urusan, Ucha Dzodzuashvili dan Pengarahnya, Otar Chiteishvil.

Turut hadir ialah Konsul Kehormat Malaysia di Georgia, Jemal Inaishvili.

Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut menasihatkan agar seluruh warga tentera memberikan keutamaan dalam segala perlaksanaan tugas dengan jujur dan ikhlas iaitu dengan mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta memenuhi aspirasi rakyat yang sentiasa mengharapkan keamanan ini berterusan.

‘Rakyat sentiasa memandang tinggi akan khidmat bakti yang telah dan akan dicurahkan walaupun ia sekecil-kecil khidmat baktinya’ tambah baginda.

Berangkat sama ialah anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra kini dalam rangka lawatan ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Tbilisi’ di Georgia selama dua hari.

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button