Nasional

Kerajaan Pusat ambil alih projek LRT Pulau Pinang

KERAJAAN Pusat mengambil alih projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang tetapi dengan syarat-syarat tertentu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun berkata, peruntukan untuk pembiayaan masih dalam pertimbangan iaitu sama ada melalui peruntukan pembangunan atau kaedah lain yang lebih sesuai.
“Antara syaratnya ialah projek penambakan perlu dikurangkan. Sebelum ini, ada dua pulau yang perlu ditambak bagi membina Pulau Silikon di bawah projek Pulau Pinang Selatan (PSI).
“Jadi, daripada tiga pulau, Kerajaan Persekutuan telah meminta supaya mereka hadkan kepada penambakan satu pulau. Jadi dua pulau tidak akan ditambak,” katanya. kepada pemberita semasa sidang media pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang hari ini.
Jajaran LRT laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian keretapi KTM Komuter dan ETS sedia ada.
Jarak jajaran itu dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.
Kerajaan turut memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100% milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.
Pembinaan projek LRT ini disasarkan bermula pada tahun ini dan memerlukan tempoh masa lebih kurang enam tahun dan disasarkan beroperasi pada tahun 2030.
Perolehan projek ini terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Pulau Silikon ke Komtar (Segmen 1), Komtar ke Penang Sentral (Segmen 2), kontrak untuk turnkey kerja-kerja sistem dan stok (systems and rolling stocks) secara tender terbuka.
SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) juga ditawarkan kontrak ini melalui mekanisme Single Sourcing Request for Proposal dan proses rundingan antara MRT Corp dan SRS disasarkan akan dimuktamad dalam tempoh 6 bulan.
“Selepas itu, kerja-kerja fizikal boleh dimulakan selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.
“Pelaksanaan projek LRT Pulau Pinang ini adalah komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan infrastruktur pengangkutan awam bukan sahaja di kawasan Lembah Klang tetapi juga di wilayah dan negeri yang memerlukan demi kesejahteraan rakyat,” kata Anthony. – SM
(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button