Merrepak

Pecat, Rokok & Covid-19, hanya bakar emosi

MERREPAK

  1. MEMANGLAH menjadi bahan ketawa seluruh negara bila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaikan tidak mampu buat apa-apa ketika lima individu yang sepatutnya dipecat, memasuki ibu pejabat parti untuk mengisytiharkan pemecatan mereka tidak sah sambil memecat pula penandatangan surat pemecatan mereka.
  2. Seperti dijangka, ribut taufan itu disertai misinformation atau berita separuh masak, bertujuan untuk memesong perhatian tetapi memberi kelebihan kepada pihak yang menyebarkannya.
  3. Antaranya kejadian mengaitkan seorang menteri dari Bersatu, yang dinyatakan oleh pegawainya tidak ke mana-mana kerana dikuarantin, tetapi dipetik media keesokan harinya mengaku ada melakukan pertemuan.
  4. Misinformation ini sebenarnya untuk apa? Memang tersalah strategi komunikasikah, atau cubaan memperbetulkan kesilapan langkah? Dalam bidang sains komunikasi, bila anda bermula dengan komunikasi tidak berhemah, anda akan mendapat balik komunikasi tidak berhemah juga.
  5. Sebahagian daripada kita mungkin menjawab `saya makan popcorn menonton drama politik negara sekarang’. Boleh. Tidak salah. Tetapi ayat seumpamanya juga ada seakan elemen menggalakkan lagi drama itu berterusan, walhal skrip dan jalan cerita semakin memualkan.
  6. Tindakan pemecatan lima Ahli Parlimen yang tidak lagi sehaluan dengan majoriti di dalam Bersatu itu, sepatutnya menjadi isyarat besar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menamatkan pemberontakan di dalam parti.
  7. Sekarang, bukan sahaja ahli-ahli Bersatu yang pening kepala tentang kesahihan pemecatan Hang Berlima tersebut, tetapi turut menakutkan rakyat yang bimbang amukan orang yang kecewa akan mengakibatkan lagi banyak gangguan kepada proses negara memulih kesan Covid-19.
  8. Walaupun memang tugas Merrepak berperanan menganalisis arena politik negara, peperangan yang terjadi sekarang, menyebabkan hati rasa sangat kesal. Saya percaya ramai lagi rakyat berkongsi rasa kecewa.
  9. Pandemik Covid-19 seharusnya diberi perhatian sepenuhnya, belum selesai pun, tiada vaksin lagi tetapi persoalan siapa perdana menteri, siapa kerajaan tidak lagi segan-silu dilaungkan.
  10. Sejak permulaan PKP 18 Mac lalu, kerajaan hari ini dianggap berfungsi dengan baik dalam menguruskan negara semasa Covid-19. Benarkanlah dan beri lebih masa kepada kerajaan hari ini cari juga formula memulihkan ekonomi. Ramai rakyat kehilangan kerja. Bela nasib mereka. Bukan bela nasib ahli politik semata-mata.

Menanti PKP ditamatkan

  1. Pengumuman rasmi kerajaan yang dijangka selewat-lewatnya 5 Jun ini, sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat jelata, sama ada akan memansuhkan sama sekali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau melonggarkannya sedikit lagi.
  2. Statistik harian Kementerian Kesihatan juga menunjukkan kes baharu walaupun ada masanya turun naik mencecah tiga angka, majoritinya adalah pendatang tanpa izin di depot imigresen.
  3. Yang turut mendebar-debarkan ialah kalangan mereka yang merentas negeri pulang ke kampung halaman semasa Aidilfitri. Didoakan tiadalah meningkat kes baharu daripada kelompok berkenaan.
  4. Ini kerana jika meningkat lagi kes baharu, ia dikhuatiri mempengaruhi keputusan kerajaan berkenaan PKPB. Memanglah tekanan ekonomi amat mencengkam sekarang tetapi kalau bilangan kes baharu kembali di paras bahaya, ia amat merumitkan pihak berkuasa melonggar besar PKPB.
  5. Namun dalam keasyikan kita semua mahu menyambung semula kehidupan, harus diingat bahawa pandemik Covid-19 belum ada penawar mujarab.
  6. Semua saintis di seluruh dunia sedang bertungkus-lumus menghasilkan vaksin. Ada yang mendakwa sudah memilikinya tetapi masih perlu diuji kesan sampingan. Takut mujarab lawan virus corona tetapi ada kesan sampingan ubat kepada jantung, misalnya. Jadi perlu masa untuk menilai serba-serbi penawar yang paling sesuai. Inilah mengapa vaksin Covid-19 ini dijangka akan ada hanya tahun hadapan.

Berita separuh masak

  1. Di samping misinformation dalam berita politik, kegiatan itu berleluasa dalam kes Covid-19. Bermacam saranan disebar menerusi WhatsApp kononnya, sayur itu atau buah ini mujarab melawan virus. Cerita tersebut diklasifikasi sebagai berita palsu tetapi terdapat juga berita sahih tetapi masalahnya, belum cukup masak.
  2. Misalnya, memetik sumber rasmi yang memberi teori atau pandangan. Sepatutnya kena ada pandangan balas atau pengesahan teori. Tetapi tiada. Jadi pandangan sebelah pihak sahaja yang diistilah separuh masak, menjadi tular dan dipercayai sebagai sahih 100%. Ini pun amat berbahaya!
  3. Satu contoh nyata ialah berkaitan laporan media yang memetik sumber hospital bahawa perokok berisiko dijangkiti Covid-19. Ia memetik saintis perubatan, cukup bagus sudah. Tetapi bab kesihatan dan Covid-19 terutamanya, tiada institusi perubatan atau doktor boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan itu salah, ini salah, itu mujarab, itu rasa macam kebab.
  4. Mereka semua tertakluk kepada peraturan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan mengesahkan sesuatu diagnos dan prognosis adalah betul dan boleh diikuti seluruh dunia.
  5. Jadi pada saat dan tika ini, `penemuan’ hospital tersebut hanyalah berstatus `preliminary’. Masih terlalu awal untuk membuat rumusan muktamad atau menggubal dasar, berdasarkan data yang diperoleh sehingga kini.
  6. Malahan kajian mengenainya agak longgar kerana kebanyakan kajian hanya menjurus kepada pesakit yang disahkan positif dan dimasukkan ke wad tetapi tidak membabitkan mereka yang dirawat di rumah.
Sesuatu rumusan hendaklah memenuhi spesifikasi berikut:
  • menyatakan metodologi atau soalan standard diguna bagi mengumpul data pesakit mengenai tabiat merokok/ vape mereka.
  • membuat pertimbangan terhadap risiko lain seperti kecenderungan gaya hidup pesakit, pekerjaan dan persekitan, yang sangat relevan kepada keseluruhan status kesihatan individu.
  • perbandingan secara saintifik kadar jangkitan antara perokok dengan yang tidak merokok.
  • hendaklah dikaji semula oleh pakar-pakar dalam bidang perubatan dan diberi perakuan.
  1. Merrepak bukanlah membela perokok atau tabiat merokok di kala Covid-19 ini sebab saya bukan berkongsi menghisap rokok dengan sesiapa.
  2. Apa yang hendak ditegaskan ialah elaklah misinformation iaitu sebarang data maklumat mengenai pandemik ini haruslah berwibawa, sah dan tulen agar ia benar-benar membantu anggota perubatan menyusun strategi jitu menghadapi Covid-19.
  3. Keputusan yang dibuat berasaskan emosi dan bukan bukti saintifik, boleh mengakibatkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
  4. Kita semua berperanan untuk mengambil langkah bertenang, mematuhi langkah-langkah yang disaran oleh Kementerian Kesihatan dan menyiasat sedalam-dalamnya sesuatu perkara, jika kita mahu melihat usaha negara menangani Covid-19 baik daripada segi kesihatan mahupun pengaliran berita sahih benar-benar tercapai.
  5. Keadaan penduduk dunia sudah cukup tegang sekarang, malah Aidilfitri yang baru ini terasa hilang serinya. Suami isteri terpisah, keluarga kehilangan orang tersayang akibat Covid-19, jutaan pekerjaan lenyap semasa PKP dan ekonomi kini terumbang-ambing, malah lima dipecat mendorong negara menjadi gawat.
  6. Inilah keperluan kita banteras berita palsu, berita separuh masak. – SM

 

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button