EkonomiNegeri

Jumlah syarikat pengusaha makanan di Perlis mohon sijil halal naik mendadak

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menjangka trend permohonan sijil halal oleh syarikat pengusaha makanan di negeri ini terus naik mendadak sehingga akhir tahun ini.

Pengarahnya, Najmuddin Abdul Karim berkata, ini berikutan sehingga bulan Februari ini sahaja sebanyak 57 buah syarikat telah memohon untuk memiliki pensijilan halal daripada Bahagian Penyelidikan dan Halal JAIPs.

Najmuddin Abdul Karim – Gambar FB Jabatan Mufti Perlis.

Beliau berkata, pada tahun lalu sebanyak 51 buah syarikat telah berjaya memiliki pensijilan halal.

“Berbanding tahun 2021 hanya 33 syarikat sahaja memiliki sijil halal,” katanya.

Jelas Najmuddin, ini menunjukkan para pemain industri, pengusaha-pengusaha, dan para peniaga muslim terutamanya bersungguh-sungguh dalam memohon dan bukan sambil lewa.

“JAIPs dan agensi agama negeri komited untuk memberikan kefahaman keperluan permohonan halal perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada program Kesedaran Halal:”Mudahnya Pensijilan Halal Malaysia” Peringkat Negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan majlis berkenaan.

Baginda juga berkenan mengurniakan Surat Lantikan Panel Pengesahan Halal Peringkat Negeri Perlis dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada pengusaha industri.

Hadir sama Exco Agama Negeri, Muhammad Azmir Azizan dan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Nor.

Program ini dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sempena dengan program ini diadakan ceramah bertajuk “Pensijilan Halal Malaysia: Mudah atau Payah? oleh Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Penguatkuasaan Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Shahriman Ali Pitchay.

Manakala Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menyampaikan ceramah bertajuk “TausiyyahbHalalan Tayyiban: Memahami Konsep Halalan Tayyiban Daripada Perspektif Islam”. – SM

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button