Ekonomi

Jumlah dagangan Malaysia melepasi RM2 trilion pada 2021

JUMLAH dagangan Malaysia mencatatkan pencapaian baharu pada 2021 dengan melepasi RM2 trilion, iaitu pertumbuhan terpantas sejak 1994, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua perangkaan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jumlah perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 24.8 peratus kepada RM2.2 trilion pada 2021 daripada RM1.8 trilion pada 2020 selepas mencatat pertumbuhan negatif selama dua tahun berturut-turut.

Beliau berkata, semua negeri dan wilayah persekutuan mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan yang didominasi oleh Selangor (RM112.6 bilion), Pulau Pinang (RM94.4 bilion) dan Johor (RM87.4 bilion).

“Eksport Malaysia bernilai RM1.24 trilion pada 2021 meningkat 26 peratus berbanding RM983.8 bilion pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, peningkatan eksport berikutan peningkatan eksport semua negeri dan wilayah persekutuan iaitu Selangor (RM62.8 bilion), Pulau Pinang (RM49.9 bilion), Johor (RM47.9 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion), Kedah (RM12.8 bilion), Kuala Lumpur (RM12.1 bilion), Perak (RM11.3 bilion), dan Sabah (RM10.4 bilion).

Turut merekodkan eksport lebih tinggi ialah Pahang (RM10.3 bilion), Terengganu (RM8.5 bilion), Melaka (RM7.9 bilion), Negeri Sembilan (RM3.1 bilion), Labuan (RM1 bilion), Perlis (RM177.2 juta ), dan Kelantan (RM97.1 juta).

Mohd Uzir berkata antara lima negeri pengeksport utama atau wilayah persekutuan, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan bahagian 29.3 peratus, diikuti Johor (20.6 peratus), Selangor (19 peratus), Sarawak (6.8 peratus), dan Kuala Lumpur (3.5 peratus).

“Peluasan eksport itu disokong oleh eksport kukuh litar bersepadu elektronik di Pulau Pinang.

“Sementara itu, eksport yang lebih tinggi dicatatkan di Johor disumbangkan oleh produk petroleum ditapis manakala sarung tangan getah merupakan penyumbang utama kepada eksport di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, gas asli cecair merupakan penyumbang utama kepada eksport di Sarawak.

Mohd Uzir berkata import juga mencatatkan peningkatan 23.3 peratus kepada RM987.2 bilion pada 2021 berbanding RM800.5 bilion pada tahun sebelumnya dan peningkatan import itu disebabkan oleh import yang lebih tinggi dari Selangor (RM49.8 bilion), Pulau Pinang ( RM44.5 bilion), dan Johor (RM39.5 bilion) manakala nilai import berkurangan di Sabah sebanyak RM8.7 bilion dan Labuan (RM908.4 juta).

“Import yang lebih tinggi dicatatkan di Selangor dan Kuala Lumpur disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik lain.

“Selain itu, litar bersepadu elektronik menjadi penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Tambahnya, produk petroleum bertapis merupakan penyumbang utama import di Johor. – SM

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button