Nasional

MoU antara UPSI – Vfive Sdn. Bhd. beri manfaat pelajar jalani latihan industri

PUSAT Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kerjasama dengan VFive Group Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera sebagai rakan strategik khususnya dalam aspek penempatan pelajar menjalani Latihan Industri (LI).

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan jalinan kerjasama dengan syarikat yang ditubuhkan pada 2012 dan berpusat di Ampang, Selangor itu sedia terjalin sejak tiga tahun lalu yang menerima pelajar UPSI menjalani LI.

Katanya, syarikat berkenaan menawarkan kepakaran perkhidmatan dalam beberapa sektor utama termasuklah Perdagangan Am, Pembangunan dan Pembinaan, Teknologi, Penjagaan Kesihatan, Pertahanan dan Pengiklanan.

Prof Dato’ Dr Md Amin (empat dari kiri) bersama Mohd Saufi (empat dari kanan) memegang dokumen MoU yang ditandatangani di Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kelmarin itu menyaksikan UPSI turut diwakili Timbalan Pengarah PuLaMI, Dr. Noor Hidayah Azmi, manakala VFive Group Sdn Bhd diwakili Pengurus Besar, Mohd Saufi Mokhtar.

Mohd Saufi berkata Syarikat VFive Group Sdn. Bhd. memandang tinggi pembangunan modal insan sebagai nilai teras kemajuan syarikat, malah berasaskan nilai tersebut, syarikatnya sangat komited dalam membentuk dan menggilap potensi golongan muda untuk menjadi pemimpin di dalam organisasi.

“Kami berhasrat mewujudkan kerjasama dengan UPSI dalam usaha untuk mengambil langkah yang perlu menggalakkan kerjasama dalam bidang Penempatan pelajar dalam kursus Latihan Industri, program dan aktiviti bersama, memberi Khidmat Profesional mengikut bidang serta apa-apa bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama oleh pihak-pihak.

Beliau berkata MoU yang ditandatangani bersama antara UPSI itu bakal mengukuhkan lagi aspek pengurusan Latihan Industri dan perkongsian kepakaran daripada industri.

“Ia juga akan memantapkan kolaborasi profesional menerusi kursus jangka pendek, mempertingkatkan peluang kerjaya untuk bakal graduan UPSI dalam pelbagai bidang selain mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam program Corporate Social Responsibility (CSR) antara Yayasan VFive dengan pelajar UPSI.

Beliau berkata VFive Group Sdn Bhd memberi peluang latihan industri kepada pelajar dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE); Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) sekali gus membuka peluang diserap sebagai kakitangan tetap di syarikat berkenaan selepas tamat Latihan Industri.

Menurut beliau keuntungan jangka pendek dan jangka panjang yang akan diperolehi UPSI termasuklah tajaan program Corporate Social Responsibility (CSR) oleh Yayasan VFive di bawah syarikat VFive Group Sdn Bhd.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Pendaftar UPSI Helmi Zaifura Abdul Rahman; Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi , Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim; Pengurus Sumber Manusia VFive, Raja Nur Maisara Raja Amir serta Naib Presiden Sumber Manusia VFive Group, Syaiful Radzman Osman.

Baca lagi : UPSI, Universitas Mataram Jalin Kerjasama

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button