Nasional

Judi dalam talian, 21 termasuk wanita warga UK ditahan

SEBANYAK 21 individu termasuk seorang wanita warga United Kingdom (UK) ditahan kerana terlibat aktiviti judi atas talian di sebuah kondominium di Mont Kiara, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, serbuan itu dilakukan ketika pihaknya membuat operasi pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pukul 2 petang hingga 12 tengah malam.

“Dalam serbuan tersebut, kita turut menahan lima wanita dan 15 lelaki warga tempatan yang terlibat dengan aktiviti perjudian tersebut.

“Selain tangkapan, kita turut merampas 21 buah komputer, 42 telefon bimbit dan dua buah modem,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairulnizam, pihaknya turut menahan dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki tempatan yang terlibat dalam kegiatan perjudian membeli dan menjual ekor haram di Kuchai Lama dan Sri Petaling.

Jelasnya, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 1(1)(C) akta sama.

Dua individu diperiksa dalam operasi pemantauan SOP PKPB di sekitar Brickfields, semalam. – Gambar ihsan IPD Brickfields

Selain itu, Zairulnizam memberitahu pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap enam individu yang melanggar sop PKPB.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah premis gagal mematuhi penjarakan sosial, pelanggan tidak membuat imbasan apikasi MySejahtera dan memainkan muzik dalam premis hiburan.

“Menerusi pemeriksaan itu, terdapat seorang lelaki tempatan cuba mempertikaikan tindakan polis dan telah ditahan kerana menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas,” ujarnya.

Jelasnya, lelaki tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan manakala yang lain dikompaun di bawah Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. -SM

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button