Ekonomi

Jualan sektor pembuatan meningkat 11.6 peratus pada September

JUALAN bagi sektor pembuatan di negara ini meningkat 11.6 peratus pada September 2021 kepada RM135.3 bilion berbanding bulan yang sama pada 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Nilai jualan meningkat 6.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh subsektor keluaran petroleum, kimia, getah dan plastik (29.2 peratus), terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum ditapis.

“Perkembangan itu juga disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (12 peratus), disokong oleh industri pembuatan produk makanan, serta subsektor produk elektrik dan elektronik (E&E) (10.8 peratus) terutamanya dalam pembuatan produk komputer, optik dan elektronik,” kata ketua perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Selasa (9 Nov).

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 74 peratus daripada jumlah nilai jualan mencatatkan peningkatan sebanyak 15.9 peratus (RM100.2 bilion), manakala industri berorientasikan dalam negeri mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun 2020.

Menurut DOSM, pertumbuhan dalam nilai jualan industri berorientasikan eksport adalah sejajar dengan pertumbuhan dua angka dalam eksport perdagangan luar dan faktor harga yang kekal menggalakkan.

Pada perbandingan bulan ke bulan, eksport dan industri berorientasikan domestik masing-masing mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.2 peratus dan 12.3 peratus.

Mohd Uzir menambah, jumlah pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan pada September 2021 ialah 2.23 juta orang, meningkat 1.6 peratus daripada 2.19 juta orang pada September 2020.

Peningkatan itu disumbangkan oleh produk E&E (4.5 peratus), petroleum, kimia, getah dan produk plastik (1.3 peratus), dan kayu, perabot, produk kertas dan percetakan (1.5 peratus).

Laporan itu juga menyatakan gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM7.48 bilion, meningkat 3.6 peratus atau RM261.8 juta pada September 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button