fbpx


Nasional

JPT ambil maklum kontroversi soalan peperiksaan UniMAP

JABATAN Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan mengambil maklum berkenaan kontroversi beberapa soalan peperiksaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak, namun tidak akan campur tangan dalam urusan perlaksanaan program akademik berdasarkan konsep autonomi universiti.

Pejabat Ketua Pengarah JPT dalam kenyataan berkata pihaknya memegang konsep autonomi berserta kebertanggungjawaban, dan menerusi konsep ini, pihak universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar dan orang awam.

Menurutnya setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman serta luaran, dan jawatankuasa akademik setiap universiti, termasuk Senat universiti, bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing.

Bagaimanapun kenyataan itu berkata JPT sentiasa memantau kecemerlangan universiti melalui beberapa matriks seperti kemenjadian dan kebolehpasaran graduan, keunggulan institusi, serta impak universiti terhadap industri dan masyarakat.

“Pihak UniMAP dijangka memberi penerangan lanjut berkenaan isu ini,” kata kenyataan itu.


Antara soalan peperiksaan UniMAP yang dianggap sensitif terhadap orang ramai termasuklah berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), pengukuhan Jawi dan yang berkaitan penceramah bebas dari India, Zakir Naik.

Sementara itu di KANGAR, UniMAP dalam satu kenyataan berkata universiti itu akan menjalankan siasatan lanjut berhubung isu kertas soalan peperiksaan Hubungan Etnik itu dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihaknya sebaik kesemua maklumat dikumpulkan.

“Sebagai universiti yang memiliki pelajar berbilang kaum dan budaya, pihak UniMAP memandang serius akan perkara ini.

“Sebarang maklum balas akan mengutamakan aspek perpaduan dan toleransi antara kaum selaras dengan konsep Juara Perpaduan yang telah diamalkan semenjak awal penubuhan (UniMAP) dahulu,“ katanya.

Selain itu, UniMAP juga akan mengkaji semula tatacara semakan soalan peperiksaan bagi kursus tersebut bagi memastikan para pensyarah lebih peka terhadap sensitiviti kaum dan agama dalam membangunkan soalan peperiksaan.

UniMAP meminta semua pihak agar menghentikan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan suasana ketidakharmonian sebaliknya memberi ruang kepada UniMAP untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
– BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button