Uncategorized

Jom boikot barangan dari India

Tindakan susulan kenyataan dua ahli politik BJP hina Nabi Muhammad SAW

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 10 Jun – Umat Islam di negara ini diseru untuk memboikot barangan yang diimport dari India sebagai tindak balas terhadap kenyataan dua ahli politik dari India yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Pesuruhjaya Pas II negeri Melaka, Imran Abdul Rahman berkata, tindakan itu dianggap wajar memandangkan ahli politik daripada negara itu masih berdegil enggan meminta maaf dan masih berterusan menghina Nabi Muhammad dan Islam itu sendiri.

Menurutnya, tindakan dua ahli politik terbabit iaitu Nupur Sharma dan Naveen Jindal tidak dapat diterima
oleh umat Islam kerana kenyataan yang dibuat jelas menghina Islam keseluruhannya.

“Kalau setakat kita berhimpun dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka ia tidak akan memberi kesan
dan sebaiknya seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Melaka kita bersatu untuk memboikot barangan
yang diimport dari India.

“Kita seharusnya memberi tekanan kepada kerajaan India dan umat Islam sebenarnya tidak lagi boleh bertolak
ansur dengan mana-mana pihak yang menghina bukan sahaja Nabi Muhammad tetapi Islam itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai perhimpunan aman di perkarangan Masjid Al-Azim
selepas solat Jumaat bagi menyatakan pendirian dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dua ahli politik
dari parti Bharatiya Janata (BJP).

Perhimpunan aman tersebut adalah anjuran Pemuda Pas Melaka bersama wakil-wakil daripada 15 pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agong Pertubuhan Muafakat Ummah Melaka, Muhammad Najib Latif berkata, pihaknya
turut melahirkan rasa kesal dengan penghinaan yang dilakukan oleh dua ahli politik daripada BJP.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini tidak lagi boleh berkompromi dengan mana-mana pihak jika cuba
menggugat dan menghina agama Islam khsusunya menyentuh keperibadian Nabi Muhammad SAW.

“Saya menyokong penuh cadangan daripada Pas Melaka untuk memboikot barangan yang diimport dari India
sebagai tindak balas terhadap kontroversi yang dibuat oleh mereka,” ujarnya.

Ketua Pemuda Pas negeri, Muhammad Al Afiz Yahya berkata, tindakan dua ahli BJP itu menghina Nabi Muhammad
jelas cuba mencabar kedudukan Islam.

“Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas di Asia Barat, selain
dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

“Kita sepatutnya mengikut jejak langkah yang sama untuk memboikot barangan dari India. Ini wajar dilakukan
bagi memberi ingatan dan amaran kepada semua pihak jangan sesekali menyentuh atau menghina Islam,”
ujarnya.

habis…/

(Visited 808 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button