BeritaPolitik

Johor banjir, MB di mana?

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertanya ke mana perginya Menteri Besar Johor, Dr. Shahruddin Jamal ketika negeri berkenaan dilanda banjir yang buruk.

“Johor antara beberapa negeri yang sedang teruk dilanda banjir. Ramai keluarga dan mangsa sedang diberikan bantuan oleh pelbagai pihak dan sukarelawan yang bertungkus lumus memastikan mereka selamat.

“Dalam keadaan sebegini, pihak Kerajaan Negeri dan pemimpin tempatan sangat diperlukan untuk turun padang dan membantu sedaya yang mungkin. Mereka mesti terus memantau dan memastikan yang segala aspek keselamatan dan misi bantuan berjalan lancar. Bukan sekadar melepas tangan kepada kakitangan kerajaan negeri atau para sukarelawan. Atau sekadar mengadakan satu lawatan ke pusat pemindahan.

“Malangnya, ketika keadaan di Johor belum reda dan pulih, YAB Menteri Besar Johor Dr. Shahruddin Jamal memilih untuk mengadakan lawatan ke luar negara di Mesir,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, barangkali alasan yang akan digunakan adalah kerana lawatan tersebut sudah lama di rancang.

“Alasan sebegini tidak boleh diterima. Sebarang lawatan ke luar negara boleh dijadualkan semula sekiranya wujud keperluan yang lebih mendesak di peringkat tempatan.

“Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk bertemu para pelajar kita di Mesir. Bukankah selepas bencana banjir ini selesai, mereka akan masih berada di sana dan boleh dilawati? Sedangkan mangsa-mangsa banjir masih bertarung dengan ketidaktentuan dan pelbagai musibah,” katanya.

Beliau juga yakin pihak penganjur atau pelajar di sana mempunyai kematangan yang tinggi untuk memahami dan menerima pembatalan lawatan tersebut kerana bencana banjir yang sedang berlaku di Johor.

“Inilah masanya untuk YAB Menteri Besar Johor mempamerkan keupayaan meletakkan prioriti atau keutamaan dalam sesuatu isu.

“Saya harap beliau dan barisan Pentadbiran Negeri yang lain akan dapat memberikan perhatian serius kepada isu yang lebih penting sekarang.

“Marilah kita semua mendoakan keselamatan keluarga dan mangsa yang terjejas agar berada dalam keadaan selamat. Marilah kita semua bersama-sama menghulurkan bantuan serta sumbangan seberapa yang boleh dalam kapasiti masing-masing. Semoga keadaan akan pulih segera, katanya.

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button