Bola SepakSukan

Bintang Hollywood ambil alih kelab bola sepak Wales, Wrexham

BINTANG Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney akan melengkapkan pengambilalihan sensasi Wrexham FC selepas undian penyokong berpihak sepenuhnya kepada cadangan tersebut.

Undian daripada Amanah Penyokong Wrexham (WST) menyaksikan 98.6 peratus bersetuju dengan pengambilalihan itu, dan keputusan muktamad akan disahkan dalam masa beberapa hari lagi.

“Lembaga Amanah Penyokong Wrexham mengucapkan terima kasih kepada Rob McElhenney dan Ryan Reynolds serta penasihat mereka Inner Circle Sports dan Walker Morris, di atas sikap profesional serta bertimbang rasa mereka untuk memberikan kami ruang melaksanakan proses ini.

“Sebagai penyokong Wrexham, kami mengucapkan selamat maju jaya di atas pengambilalihan kelab bola sepak kami dan tidak sabar untuk melihat apakah perubahan yang bakal di bawa kepada kelab pada masa depan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web kelab.

Dua pelakon itu secara terbuka telah menyatakan hasrat mereka untuk membawa Wrexham ke peringkat global.
“Kelab ini adalah yang ketiga tertua di planet ini dan kami tidak melihat mengapa ia tidak mempunyai tarikan global.

“Kami mahu Wrexham menjadi sebuah pasukan global. Niat kami untuk menjadi sebahagian daripada kisah Wrexham dan bukannya Wrexham menjadi sebahagian dalam cerita kami,” kata bekas calon Golden Globe, Reynolds, awal bulan ini.

Selain itu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan pemilik baharu itu menjelaskan: “Matlamat kami ialah untuk mengembangkan pasukan dan kembali ke dalam Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dengan beraksi di hadapan penonton yang ramai di Stadium yang dinaik taraf.

“Kami mahu menyediakan kewangan yang mencukupi bagi menyokong pengurus dan pasukan kejurulatihannya untuk membina model lestari yang mampu menarik pemain dan kakitangan terbaik ke Racecourse Ground.”

Pengambilalihan pasukan Liga Nasional itu difahamkan bernilai sekitar 2 juta pound (RM10.8 juta).

Wrexham sebelum ini dimiliki oleh peminat sejak 2011. Baik Reynolds mahupun McElhenney, turut menyatakan hasrat mereka untuk menyaksikan perlawanan apabila dibenarkan berbuat demikian kelak dan komitmen kerja mengizinkan. – Mirror – SM

(Visited 347 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button