fbpx
Bola SepakSukan

Johnsson cipta rekod selamatkan 13 percubaan berbahaya

ROBIN VAN PERSIE menghamburkan pujian terhadap Karl-Johann Johnsson selepas mempamerkan persembahan luar biasa sewaktu suku akhir Liga Europa yang menyaksikan Manchester United menundukkan FC Copenhagen, awal pagi tadi.

Penjaga gol Copenhagen itu menyelamatkan 13 percubaan berbahaya sepanjang 120 minit permainan di Stadium RheinEnergie dekat Cologne, yang juga merupakan satu rekod baharu dalam pertandingan bola sepak di peringkat Eropah.

Ekoran ketangkasan dan kecemerlangan penjaga gol itu, Red Devils hanya mampu membolosi pintu gol yang dikawal Johnsson menerusi sepakan penalti, dengan Bruno Fernandes menyempurnakan tendangan tersebut selepas Andreas Bjelland menjatuhkan Anthony Martial.

Ketika ditanya sama ada pemain antarabangsa Sweden itu wajar diberi ganjaran menerusi ‘perpindahan besar’ pada musim panas ini, van Persie berkata: “Saya berharap ia akan berlaku, dia sememangnya layak untuk diberi ganjaran seperti itu.

“Dia telah menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya. Bukan hanya bola yang menuju ke arahnya, malah dia turut menjadikan tubuhnya sebagai benteng dan bermain dengan cukup cemerlang.

“Menyelamatkan percubaan berbahaya daripada Martial memang sesuatu yang luar biasa kerana dia hanya melakukan dengan sebelah tangan.”

Johnsson menyelamatkan percubaan berbahaya Martial dengan menolak bola keluar dari sudut atas pintu gol sebelum dia meneruskan kekebalannya berdepan situasi satu lawan satu sebanyak tiga kali, dan ketangkasan penjaga gol tersebut ternyata membuat van Persie berasa kagum.

“Pergerakan kakinya juga sangat bagus. Saya rasa perlawanan itu merupakan aksi terbaik sepanjang hidupnya,” ujar van Persie.

Bekas pemain tengah Manchester United, Owen Hargreaves turut melambungkan pujian terhadap penjaga gol berusia 30 tahun itu.

“Satu-satunya cara pasukan lawan mampu menewaskan Johnsson ialah menerusi sepakan penalti. Dia menyelesaikan dengan baik kesemua cabaran. Anda perlu tabik hormat kepadanya, dia benar-benar luar biasa,” kata Hargreaves.

United mara ke separuh akhir Liga Europa menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas FC Copenhagen. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!