
Johan ‘Jojo’ Ghazali kecewa dikecam delepas tewas, tegur mentaliti negatif segelintir rakyat Malaysia
Atlet Muay Thai negara, Johan “Jojo” Ghazali, meluahkan kekecewaan terhadap kritikan negatif yang dilemparkan oleh segelintir rakyat Malaysia susulan kekalahannya kepada lawan dari Argentina, Diego Paez, dalam satu perlawanan sengit semalam.
Jojo, yang baru berusia 18 tahun, menyifatkan kecaman tersebut sebagai tidak wajar dan mencerminkan mentaliti negatif yang menjadi penghalang kepada kemajuan sukan tempatan.
Beliau menegaskan bahawa setiap pertarungan di gelanggang membawa pengorbanan besar demi mengharumkan nama negara.
“Aku umur 18 mengorbankan nyawa aku atas gelanggang demi mengangkat nama negara. Pagi tadi aku bangun, kaki sakit tak dapat nak jalan, kepala sakit,” luahnya menerusi satu hantaran di media sosial.
Meskipun menerima kritikan keras, Johan menegaskan bahawa beliau tidak terkesan secara emosi, malah menjadikan ia sebagai motivasi untuk terus maju.
“Korang ingat aku akan koyak ke dengan apa yang korang cakap? Mentality kita berbeza, sebab tu aku yang berlawan, engkau hanya sekadar penonton,” tegasnya.
Perlawanan yang berlangsung di luar negara itu merupakan sebahagian daripada jadual pertarungan profesional Johan yang semakin mencabar sejak mencipta nama di pentas ONE Championship. Walaupun tewas kali ini, Johan masih dianggap sebagai antara prospek terpenting dalam arena Muay Thai dunia, mewakili Malaysia dengan penuh semangat juang.
Pengikut dan peminat sukan tempatan turut tampil memberikan sokongan moral kepada beliau, dengan menyatakan bahawa kekalahan adalah sebahagian daripada perjalanan seorang juara.