
Joe Biden disahkan hidap kanser prostat agresif, sedang timbang rawatan
WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, disahkan menghidap kanser prostat yang agresif dan telah merebak ke tulang, menurut kenyataan dari pejabatnya semalam.
Biden, 82, yang sebelum ini kehilangan anaknya Beau Biden akibat kanser pada 2015, disahkan menghidap penyakit itu Jumaat lalu selepas mengalami simptom berkaitan saluran kencing dan dikesan mempunyai nodul pada prostat.
“Walaupun ini merupakan bentuk penyakit yang lebih agresif, kanser itu didapati sensitif terhadap hormon, yang membolehkan ia diurus dengan lebih berkesan.
“Presiden dan keluarganya sedang meneliti pilihan rawatan bersama pasukan perubatannya,” memetik laporan NST online.
Presiden AS, Donald Trump, yang selama ini sering memperlekeh Biden berhubung usianya dan kemampuan kognitif walaupun hanya empat tahun lebih muda menyatakan rasa sedih terhadap berita tersebut.
“Kami mengucapkan salam takziah dan doa terbaik buat Jill dan keluarga. Kami doakan Joe segera sembuh dan pulih sepenuhnya,” katanya pada satu hantaran di platform Truth Social.
Naib Presiden, Kamala Harris, yang mengambil alih sebagai calon Demokrat selepas Biden menarik diri daripada pilihan raya presiden tahun lalu, turut menyuarakan sokongan.
“Joe seorang pejuang. Saya tahu beliau akan menghadapi cabaran ini dengan kekuatan, ketabahan dan semangat optimis yang selama ini mencorakkan kepimpinannya,” katanya di platform X.
Kenyataan daripada pejabat Biden turut memaklumkan bahawa penyakit beliau berada pada tahap serius dengan skor Gleason 9 (Kumpulan Gred 5) – penarafan tertinggi yang menunjukkan sel kanser sangat tidak normal dan berisiko tinggi.
Biden mengakhiri tugasnya sebagai Presiden AS pada Januari lalu dan mencatat sejarah sebagai pemimpin tertua yang pernah menyandang jawatan tersebut, meskipun sering diselubungi persoalan berkaitan kesihatan dan usia sepanjang pentadbirannya.
Namun pada Julai tahun lalu, beliau terpaksa menarik diri daripada pencalonan semula selepas debat yang mengecewakan menentang Trump, yang mengukuhkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan mentalnya.
Sumber : Malasia Tribune