NasionalNegeri

Suspek kes pecah rumah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang ditahan

SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitu juga dengan suspek yang diburu kerana disyaki melakukan pecah kedai dan curi motosikal di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akhirnya berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asistan Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil dari Operasi Kesan/ Pintu / Lejang / Wanted maka pada pukul 3.10 petang pada 15 Februari lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar bersama anggota “Task Force” Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah menahan suspek iaitu seorang lelaki India berumur 43 tahun yang bekerja sebagai Pembantu Kedai Barangan Lusuh di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Padang Serai, Kulim, Kedah.

Yusharifuddin Mohd Yusop

Yusharifuddin berkata, operasi bagi mengesan suspek itu susulan laporan yang diterima pada pukul 10.06 pagi pada 22 September tahun lalu berkaitan kes pecah masuk di premis motosikal di Pengkalan Asam, Kangar sehingga mengakibatkan kerugian bernilai RM4,500.

Beliau berkata, suspek pada ketika itu telah meninggalkan motosikal lusuh miliknya yang juga dicuri dengan melarikan motosikal baharu di premis yang dipecah masuk.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan (KK).

“Hasil semakan, suspek mempunyai 43 rekod lampau termasuk 10 rekod “Wanted” yang melibatkan kes pecah kedai, curi kenderaan dan juga dadah,” katanya pada sidang media di IPD Kangar, petang semalam.

Yusharifuddin berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, suspek juga mengaku terlibat dalam 27 kes jenayah.

“Lima kes jenayah di Kangar dan satu di Arau, tiga kes
di Daerah Kubang Pasu, tiga kes di Daerah Kota Setar, lapan kes di Daerah Padang Serai, Kulim, lima kes di Daerah Kuala Muda dan dua kes di Tasek Gelugur, Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, susulan tangkapan itu juga, dari pandu arah suspek terdapat lebih 50 rampasan barang kes telah dibuat termasuk barang kemas, laptop, telefon bimbit dan motosikal Yamaha Y15.

Yusharifuddin menunjukkan motosikal suspek yang ditahan berkaitan kes pecah kedai dan curi motosikal di IPD Kangar. – Gambar Ihsan Sin Chew Daily

Beliau berkata, tahanan reman suspek yang berakhir 23 Februari disambung bagi siasatan lanjut.

Katanya selepas itu suspek akan diserahkan pula kepada IPD di Kedah dan Pulau Pinang untuk siasatan. – SM

BACA Bekas pemain bola sepak Liga Super terlibat kes pecah rumah

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button