Berita

JKM dirombak

Kerajaan komited untuk terus memperkasa peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan warganya menerusi pelaksanaan tiga inisiatif sekali gus memastikan penyampaian bantuan kebajikan yang lebih cekap dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara inisiatif itu termasuk menstrukturkan semula JKM bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan bantuan, penyelarasan perjawatan dan menambah baik pengagihan tugas.

Beliau berkata, inisiatif kedua adalah pemberian elaun khas kepada warga kerja JKM yang berkhidmat di kawasan berisiko seperti institusi warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Ketiga adalah menggubal Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial bagi memastikan kebajikan pekerja sosial terbela termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat agar mereka diiktiraf mengikut kepakaran masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ulang Tahun Ke-75 JKM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) lapor Utusan Malaysia malam tadi.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dan Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, beliau juga mahu warga kerja JKM menjadi ejen penyampaian yang proaktif dan cekap dalam kalangan masyarakat termasuk bertindak pantas bagi memastikan bantuan dibuat dengan betul dan berkesan.

Muhyiddin berkata, beliau juga mahu JKM menambah baik proses permohonan bantuan, mengurangkan kekangan birokrasi dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

“Sesiapapun yang memenuhi kriteria kelayakan penerima bantuan perlu dilayan secara adil dan saksama.

“Ini memenuhi prinsip prihatin yang menjadi teras pendekatan Kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, beliau juga berharap semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan sosial supaya dapat menyelaraskan mekanisme penyampaian bantuan supaya ia dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan dengan kadar segera.

“Pada 22 Februari lalu, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang juga telah membincangkan Hala Tuju Baharu Bantuan Sosial termasuklah cadangan untuk mewujudkan pangkalan data berpusat.

“Pangkalan data berpusat itu penting bagi menyelaraskan semakan kelayakan serta rekod penerima bantuan memandangkan terdapat sebanyak 192 jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat merentasi pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Rina dalam ucapannya berkata, beliau juga berharap agar pertimbangan sewajarnya diberikan ke atas cadangan bagi menambah perjawatan fasa pertama JKM sebanyak 2,525 orang.

“Buat masa ini, bilangan warga kerja JKM sangat terbatas iaitu 7,077 orang sahaja dan ia satu kekangan bagi JKM untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button