Politik

“Dia ketua pembangkang, pasti Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap” – Ibrahim Ali

Tiada ramalan boleh dilakukan Anwar Ibrahim jadi PM, tunggu 13 Oktober

TIDAK ada sesiapapun yang boleh meramalkan apakah impian Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-9 (PM-9) akan menjadi satu kenyataan.

Dalam tempoh empat hari mendatang, Selasa nanti, Anwar diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di istana.

Menurut Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali, dalam gelanggang politik, segala kemungkinan boleh berlaku.

“Anwar ialah ketua pembangkang maka pastinya Yang di-Pertuan Agong menerimanya menghadap.

“Lagipun, tidak ada sesiapapun yang boleh meramalkan apakah impian Anwar akan jadi PM ke-9 akan menjadi kenyataan.

“Apapun, dunia politik, serba kemungkinan boleh berlaku,” kata Ibrahim kepada SUARA MERDEKA ketika diminta pandangan beliau tentang berita Anwar Ibrahim diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, 13 Oktober.

Ibrahim berkata, sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur dengan mudah, senario itu juga sukar diramalkan.

“Beliau boleh berundur atau menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen.

“Terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau membubarkan Parlimen,” ujar Ibrahim lagi.

Katanya, sekiranya berlaku pembubaran Parlimen, dalam keadaan wabak Covid-19 yang mencatat bilangan kes yang agak tinggi, maka ia menjadi halangan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

“Yang di-Pertuan Agong, pada hemat saya, hanya akan melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Anwar dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai jumlah atau bilangan sokongan yang mencukupi,” kata Ibrahim.

Dua minggu lalu, Anwar berkata, kerajaan yang bakal ditubuhkannya bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah kerajaan pintu belakang.

Anwar mendakwa, pembentukan kerajaan baharu itu dikatakan mengikut peruntukan Perlembagaan dan dasar negara yang jelas.

Anwar turut mengatakan, beliau mendapat sokongan daripada parti-parti lain termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang lebih kukuh dan stabil.

Memetik sedikit kata-kata Anwar pada sidang akhbar yang diadakannya di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur: “Ini bukan kerajaan pintu belakang, kami mendapat mandat dan sokongan dasar yang jelas.

“Saya tidak bercakap mengenai kelebihan empat, lima atau pun enam Ahli Parlimen yang menyokong, jumlahnya lebih daripada itu.”

Anwar juga mendakwa mendapat senarai Ahli-ahli Parlimen pelbagai parti dan jumlahnya akan diumumkan selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong. – SM

(Visited 397 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button