Sukan

Mampukah Hafizh ulangi pencapaian di Aragon?

KEJUARAAN motosikal dunia bagi musim 2020 semakin tiba ke penghujungnya, hanya dua perlumbaan yang masih tinggal dan tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang prestasi pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah sepanjang tahun ini.

Pelumba Aspar Team itu mempamerkan persembahan tidak konsisten dengan kecederaan mewarnai kariernya setelah dia terbabit dalam kemalangan ngeri di Austria, Ogos lalu.

Pergelutan itu benar-benar mengganggu rentak Hafizh yang menyaksikan dia terpaksa bersaing dalam kesakitan.

Hafizh mencatat keputusan hambar dan tidak langsung berada dalam kelompok yang membolehkan anak muda itu menambah kutipan matanya, sehinggalah nasib menyebelahinya di Aragon beberapa minggu lepas apabila dia mengutip tiga mata berharga.

Bagaimanapun, tuah tidak lama melekat pada Hafizh, apabila dia ditimpa kemalangan dan mengalami kecederaan sewaktu sesi ujian masa, Jumaat lalu, pada Grand Prix (GP) Europa di Valencia.

Sekali lagi Hafizh terpaksa menanggung kesakitan dan dia tersingkir awal dalam perlumbaan sebenar pada Ahad.

Perlumbaan yang berlangsung secara berturut-turut sepanjang tiga minggu sebelum aksi penutup tirai di Portugal pada 22 November ini, memang tidak langsung membantu Hafizh melainkan dia perlu berserah kepada Allah agar kesakitannya segera hilang.

Menjelang Grand Prix Valencia yang masih dilangsungkan di Litar Ricardo Tormo, Hafizh tidak berhasrat menyembunyikan rasa kurang senangnya apabila terpaksa berlumba dalam jadual yang cukup padat.

“Saya masih terasa sakit kesan daripada kemalangan, keadaan ini memang tidak menyebelahi saya kerana jadual terlalu padat, begitu banyak perlumbaan dalam tempoh terdekat.

“Tetapi saya akan tetap mencuba sebaik mungkin untuk perlumbaan, hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, menjelang perlumbaan di Valencia.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, dia akan berusaha mencari jalan bagi meningkatkan prestasi jenteranya.
Hafizh kini menghuni kedudukan ke-20 dalam kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2 setelah mengumpul 21 mata keseluruhan. – SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button