Nasional

Jihad menentang inflasi tunjuk hasil positif

Tindakan “Jihad menentang Inflasi” yang dimulakan oleh kerajaan hampir sebulan lalu sudah menunjukkan hasil yang positif, kata pakar.

Pasukan Petugas Khas Jihad Melawan Inflasi, menurut pakar, berada di landasan yang betul untuk menangani peningkatan kos sara hidup, satu isu yang dihadapi rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.

Komitmen pasukan untuk menangani inflasi dicerminkan melalui pelbagai inisiatif yang telah diambil, termasuk pemberian subsidi serta pemantauan dan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melalui kementerian berkaitan.

Pasukan Petugas Khas Jihad Melawan Inflasi, yang ditubuhkan pada 29 Jun dan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, diwujudkan untuk membantu rakyat Malaysia menangani peningkatan kos sara hidup.

Pasukan itu turut dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Baru-baru ini, laporan media memetik Annuar sebagai berkata pasukan petugas khas bertekad mengawal dan mengekalkan inflasi dan harga makanan negara pada kadar yang rendah.

Beliau berkata ia mengambil maklum bahawa inflasi Malaysia telah meningkat sebanyak 3.4% antara Jun 2021 dan Jun tahun ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini mengumumkan bahawa indeks harga pengguna Malaysia telah meningkat sebanyak 3.4% kepada 127.4 pada Jun tahun ini berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9%.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia, Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham menyifatkan penubuhan pasukan petugas khas itu sebagai langkah yang relevan dalam masa yang tidak menentu ini berkaitan dengan ekonomi negara.

Beliau berkata, tumpuan utamanya perlu diberikan kepada kawalan harga makanan demi menjaga kebajikan rakyat.

“Adalah perlu diwujudkan pasukan petugas sebegini kerana masalah berkaitan inflasi dan kos sara hidup telah memberi kesan kepada rakyat sejak tahun lalu.

“Kemungkinan sebelum ini agensi berkaitan (kerajaan) menumpukan pada pelaksanaan gaji minimum untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup tetapi (nampaknya) kesan inflasi yang memberi tekanan kepada hampir semua masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pasukan petugas khas boleh memainkan peranan dalam mencari penyelesaian dari peringkat akar umbi dan seterusnya mencari tahu mengapa barangan tertentu mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah.

Antara usaha terbaru yang diambil oleh pasukan itu untuk menangani inflasi ialah mewartakan harga runcit maksimum minyak masak (minyak sawit) yang dijual dalam botol.

Keputusan ini dibuat memandangkan keengganan pengeluar minyak masak dalam botol menurunkan harga walaupun harga minyak sawit menurun.

Undang-undang sedia ada Malaysia membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mewartakan harga runcit maksimum barangan keperluan tertentu.

Bagi harga runcit maksimum minyak masak sawit, kementerian akan menetapkan harga berdasarkan harga minyak sawit mentah di pasaran global.

Raja Rizal Iskandar juga berkata pasukan petugas khas itu boleh berfungsi dengan lebih berkesan jika ia bekerjasama rapat dengan masyarakat supaya maklumat berkaitan kekurangan bahan makanan seperti telur atau kenaikan harga di mana-mana kawasan boleh disampaikan kepada pasukan untuk siasatan terperinci.

“Pendekatan ini juga akan membantu (kerajaan) mengenal pasti peniaga tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan ketika seluruh negara berdepan ancaman inflasi,” katanya.

Pandangan beliau dikongsi oleh Dr Ariff Azly Muhamed, pensyarah kanan di Jabatan Teknologi dan Kajian Pengurusan Rantaian Bekalan Universiti Teknologi MARA, yang berkata bahawa menyemak aktiviti pencatutan akan meminimumkan kesan kenaikan harga yang disebabkan oleh inflasi.

“Kita harus mengakui bahawa kenaikan kadar inflasi adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan, tetapi jika aktiviti pencatutan dibendung ia akan memberi kesan positif dan harga barangan akan terkawal,” katanya.

Menggesa rakyat Malaysia memberi ruang kepada pasukan petugas khas untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi, Ariff Azly berkata pewujudan pasukan itu adalah langkah awal dalam usaha kerajaan menangani inflasi.

“Saya yakin jika skop bidang kuasanya diperluas dan diperkukuh, ia akan dapat menyelesaikan isu berkaitan inflasi.

“Saya yakin jika skop bidang kuasanya diperluas dan diperkukuh, ia akan dapat menyelesaikan isu berkaitan inflasi.

“Banyak lagi langkah yang boleh diambil oleh pasukan ini jika ia terus komited dalam jihad (melawan inflasi), saya yakin pasukan petugas khas ini akan merealisasikan matlamatnya,” katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, pasukan petugas khas menangani inflasi adalah pendekatan rentas kementerian holistik yang digubal kerajaan bagi membolehkan rakyat lebih memahami situasi yang melanda Negara.

Tambahnya, penubuhan pasukan petugas itu menunjukkan keprihatinan mendalam kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu yang semakin mendesak yang dihadapi oleh rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button