fbpx
Ekonomi

Jetstar perkenalkan semula penerbangan ke P.Pinang, Jakarta, Ho Chi Minh

MULAI Isnin depan, 10 Ogos, Jetstar Asia, syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Singapura akan memperkenalkan semula perkhidmatan mingguan ke Pulau Pinang, Jakarta dan Ho Chi Minh City.

Selain itu, syarikat penerbangan itu juga akan menyambung semula perkhidmatan mingguannya ke Clark dan Medan bermula 17 Ogos nanti dan mengendalikan dua perkhidmatan mingguan tambahan ke Manila mulai 15 Ogos.

Jetstar menambah 26 penerbangan seminggu ke bandar-bandar utama di Asia Tenggara daripada 10 penerbangan mingguan yang terhad ke Kuala Lumpur, Manila dan Bangkok.

Pertambahan perkhidmatan ini bertujuan untuk mewujudkan perjalanan yang penting dan membantu penghantaran barangan di rantau ini, kata Jetstar Asia dalam satu kenyataan hari ini.

Jetstar Asia turut memaklumkan, perkhidmatan itu tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan hanya tersedia untuk warganegara serta penduduk tetap yang mahu pulang atau mereka yang memperoleh kebenaran awal untuk perjalanan tersebut.


Syarikat penerbangan itu menasihati pelanggan untuk merujuk dengan pihak berkuasa terlebih dahulu untuk memastikan mereka boleh melakukan perjalanan.

Semua pengembara digalakkan untuk menyemak sekatan perjalanan yang dikuat kuasa ketika ini dan pelbagai prosedur menjalani kuarantin diperlukan selepas tiba di destinasi mereka, katanya. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button