Nasional

Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis zahir ucapan Salam Aidilfitri

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah, Maaf Zahir dan Batin dengan tulus ikhlas kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Ucapan khusus dititipkan kepada rakyat negeri Perlis yang dikasihi, kaum kerabat serta kenalan Baginda berdua.

Demikian dititahkan Baginda berdua selepas berkenan menerima sembah mengadap kaum kerabat DiRaja Perlis serta kenalan rapat, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Perlis Kuala Lumpur pada petang semalam.

Mengiringi sama adalah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Titah Baginda Raja Perlis lagi, sempena Syawal yang mulia ini adalah hari yang tepat untuk terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudah lama terjalin antara semua, di samping dapat berkumpul beramai-ramai kembali.

Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah turut mendoakan semoga negeri Perlis serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa, kesihatan diri dan keluarga tersayang, serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya.

Baginda berdua pada tahun ini tidak dapat mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau atau Istana Terbuka untuk dihadiri rakyat jelata memandangkan Tuanku Raja masih bersemayam berehat di ibu negara untuk pulih daripada pembedahan buku lali dan kaki kanan tempohari.

Untuk rekod, Tuanku Syed Sirajuddin baru sahaja menyambut ulangtahun Ke-23 sebagai Raja Perlis pada 17 April 2023.

Baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Semoga DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis beserta seluruh usrah DiRaja negeri Perlis terus dilimpahkan kurnia panjang umur, sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah swt sentiasa.

Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku. – SM

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button