fbpx
Sukan

Jentera Morbidelli melayang hampir merempuh Rossi

Alami nasib serupa dengan pelumba Moto2 negara

SELAIN nasib malang yang menimpa pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli turut berdepan dengan nasib hampir serupa apabila terbabit dalam kemalangan ngeri di Red Bull Ring, Austria, semalam.

Jentera Yamaha yang dipacu pelumba Itali itu berlanggar dengan motosikal Johann Zarco sewaktu pelumba Ducati tersebut cuba memintas Morbidelli.

Apa yang menjadi lebih buruk lagi, jentera Morbidelli telah tercampak jauh sehingga hampir-hampir mengenai pelumba legenda Itali, Valentino Rossi.

“Motosikal Morbidelli hampir-hampir membunuh saya. Malah, jentera Zarco juga hanya beberapa meter melepasi saya, insiden itu amat berbahaya.

“Saya amat takut. Badan saya menggigil, menyambung semula perlumbaan amat sukar. Saya mengambil risiko terbesar sepanjang karier saya.


“Saya melihat bayangan, saya sangkakan helikopter terbang di atas saya, kadang kala memang ada helikopter melintas di ruang udara sewaktu perlumbaan.

“Tetapi, sebaliknya dua ‘peluru’ yang menghampiri saya,” kata Rossi yang jelas berang terhadap insiden yang dianggapnya sebagai satu kecuaian kepada Sky Italia.

Mujurlah Rossi berjaya mengatasi rasa gementar yang menyelubunginya dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima selepas saingan disambung semula.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali ketika mengulas insiden tersebut mengakui kemalangan yang menimpa Morbidelli itu amat berbahaya.

“Alhamdulillah dia tak ada apa-apa, selamat dan berada dalam keadaan baik. Saya ada berjumpa dengan dia.

“Hari ini (semalam) Kejuaraan MotoGP agak bernasib baik sebab insiden itu jadi boleh lagi bahaya. kalau tengok insiden itu semula, ia sikit lagi boleh membabitkan pelumba lain seperti Valentino Rossi.

“Jadi, insiden ini akan diteliti oleh pihak Dorna dan kita harap mereka boleh menasihatkan kepada pelumba MotoGP,” kata Razlan dalam kenyataannya kepada media Malaysia.

Sementara itu, bercakap mengenai insiden melibatkan Hafizh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu memberitahu, kemalangan tersebut amat menakutkan dan ia cukup ngeri.

“Alhamdulillah Hafizh berada dalam keadaan baik, mungkin sedikit lebam dan sebagainya tetapi tidak serius atau keretakan ke….apa-apa.

“Ia satu kemalangan yang tak bernasib baik. Saya harap dia dapat kembali sembuh dengan baik dan berlumba kembali dalam Grand Prix kedua (Grand Prix Austria 2 di litar sama, hujung minggu ini,” tambahnya. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button