MahkamahNasionalNegeri

Peroleh suapan RM20,000, sarjan mengaku tak salah

SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM20,000 berhubung kes pecah amanah, dua tahun lepas.

S Usha Nanthiny, 35, yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Segamat didakwa memperoleh suapan untuk diri sendiri daripada seorang lelaki di pejabatnya kira-kira 4.50 petang pada 28 Ogos 2022.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak menahan isteri lelaki itu bagi kesalahan yang dilakukannya mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Noraida Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara dengan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Segamat setiap sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 24 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh yang juga ibu kepada dua anak itu diwakili peguam S Selvantheran.

BACA Pelancong polis minta suapan disiasat

BACA Dua anggota polis ditahan, lakukan pemerasan dan terima suapan RM200

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button