Nasional

Jenazah Datuk Railey Jeffrey selamat dikebumikan

JENAZAH bekas Timbalan Menteri Penerangan Datuk Railey Jeffrey selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur  kira-kira 10.30 pagi tadi.

Jenazah tiba di tanah perkuburan itu pada kira-kira 9.30 pagi selepas disolatkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala, diimamkan Imam Surau Ar-Rahman Pusat Dagangan Dunia Putra Mohammad Hanafi Mahazir dan dihadiri kira-kira 20 jemaah.

Bacaan doa dan talkin dipimpin oleh Imam Surau Jumaat Damansara Perdana Muhamad Pisul Idris dan Imam Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah Azrul Azli Aziz.

Pengebumian itu juga berlangsung ringkas bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ketika ini dan antara yang hadir di tanah perkuburan tersebut ialah Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas isteri Allahyarham, Datin Sharifah Sheril Aida Syed Kechil.

Sementara itu, Mohd Shafie yang merupakan rakan seperjuangan Allahyarham yang bergiat aktif dalam dunia politik dan aktiviti kemasyarakatan, berkata sepanjang persahabatan mereka selama lebih 20 tahun, beliau amat menyenangi keperibadian Allahyarham.


“Dia tidak banyak kerenah. Seorang pemimpin (ketua) yang baik. Selalu mengambil berat tentang kebajikan masyarakat,” katanya.

Sharifah Sheril Aida pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bekas suami dan sahabat yang baik.

“Walaupun sudah lama berpisah, kami masih bersahabat. Anak-anak yang menjaga Allahyarham. Allahyarham merupakan insan yang terlalu baik bagi saya. Beliau seorang yang penyayang. Dalam dunia ini, susah berjumpa orang sepertinya. Semoga Allah tempatkan Allahyarham di tempat yang terbaik,” katanya.

Railey, 75, meninggal dunia di kediamannya di Damansara Lagenda, Petaling Jaya, pada 5.30 petang semalam, akibat sakit tua.

Allahyarham yang merupakan Ahli Parlimen Silam, memegang jawatan Timbalan Menteri Penerangan bagi tempoh 1986 hingga 1995 dan selepas itu dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya hingga 1999. – BERNAMA

(Visited 249 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button