Nasional

Jenama Timah pada label arak ditukar

SYARIKAT Winepark Corporation (M) Sdn. Bhd. telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka, Timah.

Perkara tersebut adalah antara hasil keputusan yang telah dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan dengan kerajaan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama TIMAH pada sebuah produk arak keluaran tempatan yang dibincangkan di media elektronik dan sosial sejak ia dilancarkan pada awal Oktober lalu.

Justeru satu mesyuarat telah diadakan yang melibatkan beberapa orang menteri dengan pihak syarikat pengeluar arak jenama ‘TIMAH’, kata Alexander dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, pertemuan secara hybrid itu diadakan dalam suasana harmoni dengan menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

“Pertemuan itu juga merupakan susulan pertemuan pertama yang telah diadakan antara syarikat Winepak (M) Sdn. Bhd. bersama MyIPO pada 25 Oktober 2021 lalu,” kata Alexander yang turut mempengerusikan mesyuarat yang disertai juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Abdul Wahid Abu Salim dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar.

Wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga turut hadir.

KPDNHEP melalui MyIPO akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya isu yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan. – SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button