Nasional

Jelas antun seksual, selamatkan kanak-kanak itu – Syed Azmi

Klip video tular yang memaparkan seorang lelaki dewasa menciumi mulut seorang kanak-kanak lelaki mempunyai unsur antun seksual.

Menurut aktivis sosial yang seringkali menjadi rujukan isu pencabulan kanak-kanak, Syed Azmi Alhabshi, perbuatan lelaki dewasa itu bukan sesuatu yang normal bagi masyarakat di Malaysia.

“Pengantunan atau sexual grooming berdasarkan apa yang di lihat nampaknya agak jelas kerana perbuatan itu tidak mencerminkan norma budaya timur yang biasa, jurang umur yang jauh bezanya dan juga hubungan antara kanak-kanak dan dewasa itu.

“Dalam takrifan klasik sexual grooming bagi saya adalah perlakuan yang berulang kali sehingga kanak kanak tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan itu sehingga di rasakan normal. Jika di teruskan boleh menjurus ke perlakuan yang lebih extreme,” kata Syed Azmi.

Beliau berkata, mahu tindakan yang perlu diambil dengan segera untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada terus diekspoitasi.


Katanya, bukan mudah untuk memulihkan kanak-kanak yang menjadi mangsa antun seksual dan ia bergantung berapa lama kanak-kanak terbabit menjadi mangsa.

“Selamatkan dia perlu cara tertentu sebab dalam sexual grooming dalam tempoh yang kita tak tahu berapa lama, effectnya perlu di selidiki.

“Kalau salah cara atau tahap kekerasan yang tak betul, susah untuk kita pulih dan selamatkan.

“Gunakanlah method diversion dan juga kaunseling untuk yang terlibat kenapa mudharatnya lebih dari yang baik sebab kalau “menghukum” tanpa mereka faham apa yang berlaku, terutama kanak kanak itu mungkin pemulihan tidak akan tercapai,” katanya.

Beliau turut menegaskan perlakuan lelaki dewasa itu terbabit tidak wajar di tampilkan kepada masyarakat umum kerana boleh menjadi ikutan dan menjadi normalisasi budaya yang tidak elok.

Perbuatan tersebut juga boleh menyebabkan seseorang keliru antara budaya yang normal dan tidak.

Syed Azmi tidak dapat membayangkan kanak-kanak tersebut meneruskan kehidupan selepas video berkenaan disebarkan kepada umum.

“Ini di tambah lagi dengan dewasa terlibat merupakan seorang influencer dan walaupun ini merupakan tabiat biasa (seperti yang di sebut) saya khuatir dengan populariti dan jumlah pengikut yang ramai, takut takutlah jadi ikutan.

“Untuk kanak kanak itu pula, dengan gambar videonya di pratonton, boleh tak bayangkan hidupnya bila makin dewasa dan video ini tersebar dalam dunia web selama lamanya. Mohon fikirkan baik-baik,” nasihat Syed Azmi.

Menurut Seyd Azmi kasih sayang sememangnya wujud dalam sesebuah keluarga tetapi tetap mempunyai batas. Ada cara dan ada kaedah untuk menunjukan kasih sayang serta hormat antara satu sama lain.

Menerusi beberapa perkongsiannya di akaun Tiktok, lelaki dewasa itu menjelaskan kanak-kanak lelaki yang dicium itu adalah anak angkat yang dijaga oleh keluarga sejak kecil lagi.

Dalam video itu kedua-dua mereka berada di atas sejadah, memakai songkok dan memegang tasbih.

“Ini bukannya anak ikan, ini adalah anak angkat kepada keluarga kami. Betul tak dik,” kata lelaki dewasa itu sambil mencium mulut kanak-kanak tersebut.-SM

 

(Visited 482 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button