Nasional

Jelajah SSPN beri impak di Sarawak

KUCHING – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak berterima kasih atas kesudian Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu membantu pelajar-pelajar negeri itu yang menghadapi kesukaran membayar balik hutang pendidikan mereka dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Pengerusi Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, kesudian beliau ini sedikit sebanyak membantu PTPTN mengurangkan beban hutang yang ditanggung mereka akibat keengganan pelajar-pelajar sebelum ini membayar hutang pendidikan mereka.

Katanya, ini sekali gus boleh menjamin pinjaman pendidikan dapat diteruskan kepada mereka yang memerlukan manakala kapasiti peminjam tidak dikurangkan akibat pusingan wang yang terjejas.

Ujarnya, apatah lagi PTPTN bersama pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan baru sahaja menamatkan siri Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di beberapa daerah termasuk di kawasan pedalaman Sarawak baru-baru ini antaranya di Bintulu, Julau, Mukah dan Belaga yang ternyata memberi impak besar kepada penduduk luar bandar terutama akan kepentingan menabung demi masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

Ketika ini menurut Jaziri Alkaf, PTPTN lebih menumpukan supaya ibu bapa diberi kesedaran kepentingan menabung di peringkat awal melalui SSPN supaya anak-anak mereka tidak terbeban dengan hutang pendidikan apabila melanjutkan pelajaran kelak.

“Usaha PTPTN dengan kerjasama Bersatu Sarawak dalam siri Jelajah SSPN Sarawak ini diharap dapat membantu memberi kesedaran bahawa menabung sejak di awal usia adalah langkah terbaik bagi menjamin masa depan anak-anak kita apabila berjaya melanjutkan pelajaran di masa depan.

“Kita tidak mahu anak-anak kecil ini terpaksa mengikut jejak langkah abang-abangnya yang terpaksa berhutang pada kadar agak tinggi demi kerana melanjutkan pelajaran di peringkat universiti atau kolej,” kata Jaziri Alkaf.

Baru-baru ini, Abang Johari ketika sesi soal jawab dalam program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2019 di MITEC mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan tentang bagaimana mahu membantu pelajar-pelajar negeri itu yang berhadapan masalah membayar balik hutang PTPTN.

Bagaimanapun mereka akan mencari mekanisme terbaik dalam tempoh enam bulan ini bagi
menyelesaikan masalah tersebut termasuk kemungkinan mewujudkan sebuah dana khas.

Untuk makluman, SSPN merupakan satu skim atau pelan simpanan yang direka oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Ia telah ditambahbaik kepada SSPN-i Plus yang dilengkapi perlindungan takaful yang murah dan komprehensif. SSPN-i Plus menggunapakai konsep simpanan secara tetap setiap bulan dan jumlah simpanan adalah bergantung kepada pakej yang dipilih. SM.

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button