Ekonomi

Serba Dinamik kembali ke landasan kukuh, fokus masa depan

DUA bulan lalu, pertelingkahan mengenai isu audit yang kemudian dibawa ke mahkamah menguji Serba Dinamik, namun syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu berjaya mengharunginya dan kini nekad untuk menutup kalendar tahun ini dengan cemerlang.

Hasil syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar Malaysia itu merosot susulan konflik dengan bekas juruauditnya, KPMG berhubung beberapa ‘percanggahan’ yang sudah pun dijelaskan, menurut Serba Dinamik.

Kini, Ketua Pegawai Eksekutif Serban Dinamik, Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, syarikat itu berada dalam keadaan “baik dan kembali berada di landasan.”

Beliau berkata, tuntutan saman syarikat terhadap KPMG dilakukan selari dengan usaha Serba Dinamik memulihkan kepercayaan semua pemegang taruhnya.

Dalam satu temu bual dengan FMT, Karim berkata, tindakan segera syarikat melantik tiga ahli pengarah bebas baharu untuk meneliti isu audit pada pertengahan Jun lalu adalah kunci utama dalam menangani perkara berkenaan.

“Kami meneliti hasil penemuan mereka dan bersetuju bahawa tindakan KPMG adalah tidak wajar. Justeru tindakan tuntutan saman diambil. Seperti yang anda tahu, ada segelintir yang tidak bersetuju dengan langkah itu dan meletakkan jawatan.

“Tetapi kita tetap bertegas dengan keputusan untuk membawa KPMG ke mahkamah.”

Karim berkata, sejak itu, Serba Dinamik melantik dua lagi pengarah bebas, iaitu bekas Pengarah Cawangan Khas Mohamed Farid Abu Hassan dan bekas Ketua Pengurusan Risiko Korporat Bursa Malaysia Siti Zaleha Sulaiman.

“Dua individu ini mempunyai rekod kerjaya yang cemerlang dan dikenali dengan integriti, pengetahuan serta pengalaman mereka. Kami percaya mereka dapat memberikan sumbangan besar kepada Serba Dinamik untuk melangkah ke hadapan,” katanya.

Karim berkata, syarikat turut melantik Ernst & Young (EY), satu daripada “empat nama besar” firma juruaudit bagi melakukan penelitian khas secara bebas terhadap isu dibangkitkan KPMG.

Beliau menafikan dakwaan bahawa Bursa Malaysia memaksa Serba Dinamik melantik EY, sebaliknya menegaskan bahawa syarikat itu yang sememangnya ingin melantik firma juruaudit tersebut.

“Pada mulanya, EY menolak kerana KPMG enggan memberi akses kepada penemuan audit mereka tetapi kita berjaya mendapatkan bantuan Bursa Malaysia untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Terbaru, Karim berkata, Serba Dinamik melantik Nexia SSY PLT sebagai juruaudit luar baharu syarikat menggantikan KPMG.

“Kita tidak menyembunyikan apa-apa, sebab itu kita tidak keberatan dan bertindak cepat melantik juruaudit lain untuk mengendalikan akaun kami. Kami ingin menyelesaikan perkara ini dengan segera untuk meneruskan urusan seperti biasa.

“Kami berhubung secara rapat dengan semua pelanggan dan bank untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai apa yang dilakukan syarikat dan memberi jaminan semuanya dalam keadaan baik. Serba Dinamik tetap kukuh dan kami rancak bergerak ke hadapan.

Segala perkembangan itu nampaknya mendapat perhatian pelabur dengan harga saham Serba Dinamik kian beransur pulih. –  SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button