Travel

Jejak Makanan Sabah: Destinasi Gastronomi Berteraskan Warisan

BAGI setiap pengembara yang berkunjung ke Sabah, perjalanan bukan sekadar menikmati keindahan alam semula jadi atau melawat destinasi pelancongan terkenal — ia juga tentang menyelami rasa tempatan yang menjadikan pengalaman itu lebih bermakna. Rasa dan aroma dari pinggan ke pinggan membawa cerita, budaya dan identiti masyarakat setempat yang jarang dirasai di tempat lain.

Sabah bukan sahaja terkenal dengan pantai yang memukau dan kehijauan hutan tropika, tetapi juga dengan pilihan makanan laut yang segar, enak dan mampu milik. Kekayaan etnik dan budaya masyarakat majmuk di negeri ini turut menyumbang kepada kepelbagaian kuliner yang unik dan menarik. Daripada sajian tradisional yang diwarisi turun-temurun, sehinggalah kepada menu kegemaran harian masyarakat tempatan — semuanya tersedia untuk dinikmati pengunjung.

Mi Ngiu Chap (Mi Sup Daging)

Jika di Semenanjung, nasi lemak menjadi pilihan sarapan popular, di Sabah pula, mi ngiu chap menawan selera ramai. Sajian ini merupakan gabungan pelbagai bahagian lembu termasuk organ dalaman, direbus perlahan dalam kuah berempah hingga empuk dan beraroma. Disajikan bersama bebola daging dan mi, ia lebih enak jika dinikmati bersama cili padi yang pedas menyengat. Antara lokasi popular untuk mencuba hidangan ini ialah Kah Hiong Ngiu Chap, Nyuk Pau Menggatal dan Yii Siang Hainan Ngiu Chap.

Mi Sup Ikan

Tidak lengkap kunjungan ke Sabah tanpa mencuba mi sup ikan yang menggunakan hasil laut segar dari perairan sekitarnya. Sama ada disajikan secara kering (kon lau) atau berkuah, setiap semangkuk mi ikan menyimpan rasa manis semula jadi dari isi ikan pilihan. Sup disediakan dalam pelbagai gaya — termasuk ham choi, tomato, asam pedas dan tom yam laksa. Fatt Kee Seafood, Aliang Fish Noodle dan Big Three Fish Noodles di Sandakan antara tempat yang sering menjadi tumpuan.

Kepak Ayam Panggang


Bagi pencinta ayam, kepak ayam panggang gaya Sabah adalah satu kelainan yang wajar dicuba. Diperap dengan ramuan khas dan dibakar perlahan, rasa salainya sangat menggoda. Menikmatinya di Kundasang pada suhu sejuk tanah tinggi menjadikan pengalaman makan lebih sempurna. Cubalah di gerai Ayam Madu Wak Ali atau Grill Chicken Wing Kundasang Café.

Jagung Bakar


Jagung bakar dari kawasan utara Sabah seperti Kudat dan Kota Marudu sememangnya lain daripada yang lain. Dibakar di atas bara kayu api, aroma manis jagung segar amat menyelerakan. Terdapat dua jenis — jagung manis dan jagung pulut, dan kedua-duanya enak dimakan ketika panas. Lokasi popular adalah sepanjang laluan Kampung Mengaris, antara Kota Belud ke Kudat.

Lokan Bakar & Puding Kelapa

Lokan bakar dari Jalan Sulaman, Tuaran adalah makanan jalanan yang tidak harus dilepaskan. Dibakar atas arang dan dihidangkan bersama limau nipis dan sambal, isi lokan yang lembut sangat menggoda. Sebagai pencuci mulut, puding kelapa sejuk dalam tempurung adalah gabungan menyegarkan yang sempurna.

Nasi Kuning

Di bahagian timur Sabah, nasi kuning adalah makanan ruji yang amat digemari. Dimasak dengan kunyit dan dibalut daun pisang, ia biasanya dihidang bersama ikan tongkol atau ayam goreng serta sambal. Restoran Haji Tamrin, Sri Rimbawan dan Mee Tauhu Corner antara tempat yang boleh dicuba.

Setiap lokasi di Sabah menjanjikan pengalaman rasa yang berbeza dan unik. Bagi yang ingin menjadikan percutian mereka lebih istimewa, beranilah mencuba sesuatu yang baru di setiap persinggahan. Jangan lupa semak waktu operasi restoran agar tidak terlepas peluang menikmati sajian terbaik.

Untuk maklumat lanjut tentang Sabah dan cadangan destinasi kuliner, layari www.sabahtourism.com.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button