Nasional

Angkasa sumbang RM100,000 bantu mangsa gempa bumi Turkiye-Syria

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyumbang sebanyak RM100,000 kepada tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria Gerakan Koperasi sebagai bantuan kewangan kepada kedua-dua buah negara tersebut yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang pada ketika ini telah mengorbankan lebih 40,000 nyawa.

Sumbangan itu diserahkan oleh Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah setelah melancarkan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria Gerakan Koperasi Malaysia dan merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) Koperasi Muafakat Mantan Berhad (KMMB) di Wisma Ungku A. Aziz, hari ini.

Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (KOPSYA) turut menyerahkan sumbangan  sebanyak RM10,000 kepada tabung tersebut dalam majlis yang sama.

Hadir sama Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Mohd Shukree Che Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah

Menurut Abdul Fattah, Angkasa mengambil inisiatif mewujudkan tabung bantuan itu bagi menterjemahkan solidariti dan keprihatinan gerakan koperasi terhadap isu semasa menerusi bantuan kemanusiaan.

Jelasnya langkah ini selaras dengan salah satu prinsip koperasi iaitu “Mengambil Berat Terhadap Masyarakat” yang menjadi pegangan kukuh gerakan koperasi untuk merakyatkan tanggungjawab sosial sesama insan sekali gus mendokong pendekatan Rahmah yang dihasratkan oleh kerajaan.

Presiden Angkasa juga menyeru kepada seluruh warga koperasi untuk turut menyumbang kepada tabung ini bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dengan bencana tersebut.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa koperasi boleh memainkan peranan yang amat besar dalam isu kemanusiaan yang pada masa sama akan meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat untuk menjadikan koperasi sebagai platform kemakmuran dan perpaduan baik dari segi ekonomi mahupun sosial.

Orang ramai dan anggota koperasi dijemput untuk menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB ISLAMIC: 8600445433 dengan rujukan sumbangan COOP4TurkiyeSyria.

(Visited 415 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button