Bola SepakSukan

JDT benam Guangzhou FC 5-0

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meraikan pesta gol menewaskan juara lapan kali Liga Super China, Guangzhou FC 5-0 pada aksi pembukaan Kumpulan I kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini di Stadium Sultan Ibrahim, malam semalam.

Kemenangan anak buah Benjamin Mora itu dijana persembahan penuh aksi selama 90 minit yang menyaksikan Bergson da Silva mencipta hatrik selain gol sendiri oleh penjaga gol, Chen Zhengfeng dan gol oleh Muhammad Ramadhan Saifullah Usman melengkapkan serangan untuk memberikan JDT permulaan yang sempurna.

Skuad Harimau Selatan bermula dengan permainan yang agresif dan membuka jaringan seawal minit ke-10 hasil tandukan Bergson hasil hantaran lintang Shane Lowry.

Tiga minit kemudian, kesilapan Chen cuba menepis rembatan Fernando Forestieri di atas garisan gol mengundang padah apabila ia terlepas dari tangannya untuk bergolek ke gawang sekali gus memberikan kedudukan selesa kepada JDT dan menambah tekanan pasukan pelawat.

Bergson menamatkan separuh masa pertama dengan menewaskan Chen sekali lagi untuk meletakkan Johor mendahului 3-0 pada minit ke-27.

Pada separuh masa kedua, Bergson tidak menunggu lama untuk menyempurnakan hatrik selepas menerima hantaran lintang La’Vere Corbin-Ong dengan tandukan tajam pada minit ke-52 untuk melebarkan jurang jaringan gol untuk JDT.

Keadan Guangzhou FC terus parah apabila pertahanan mereka Guan Haojin dilayangkan kad merah selepas terjahan ke atas Bergson pada minit ke-69 dan JDT memanfaatkan peluang tersebut untuk meledak gol kelima mereka menerusi Muhammad Ramadhan pada minit ke-81.

JDT kini di tangga teratas Kumpulan I dengan tiga mata manakala juara Liga Jepun Kawasaki Frontale dan kelab Korea Selatan Ulsan Hyundai berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 pada satu lagi aksi manakala Guangzhou FC di tangga terbawah tanpa mata.

JDT akan bertemu Ulsan Hyundai di stadium yang sama untuk perlawanan kedua Kumpulan I kempen Liga Juara-Juara AFC Isnin depan. – SM

(Visited 398 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button