fbpx
Ekonomi

JCorp sumbang RM3 juta untuk pembelian 20 unit RVM

JCORP atau Johor Corporation dan syarikat kumpulannya menyumbang dana sebanyak RM3 juta untuk pembelian 20 unit Mesin Penghidap Pernafasan (RVM) untuk membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata sumbangan itu disalurkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang merupakan badan penyelaras bagi pembelian RVM untuk keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Katanya dana itu disumbangkan JCorp bersama KPJ Healthcare Bhd, Kulim (Malaysia) Bhd, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Johor Land Bhd, Damansara REITS Managers Sdn Bhd, Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) dan Waqaf An-Nur (WANCorp).

Menurutnya, pada masa sama JCorp turut menyalurkan bantuan dan sumbangan makanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri untuk petugas barisan hadapan dan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kulim (Malaysia) Bhd melalui anak syarikatnya, Kulim Pineapple Farm (KPF) turut menyumbang produk Melita Pineapple bernilai lebih RM110,000 kepada petugas barisan hadapan dan sumbangan berupa makanan menerusi rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di beberapa negeri sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


“Sehingga 8 April, lebih RM197,000 sumbangan telah dikumpul melalui WANCorp dan sejumlah RM136,000 daripada dana ini telah diagihkan kepada 3,043 keluarga yang memerlukan di seluruh negeri Johor dengan kerjasama JKM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sama, pihaknya telah mewujudkan tabung bantuan kepada anggota pekerja yang merupakan kumpulan B40, selain turut memberi sumbangan peralatan dan keperluan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan barisan hadapan lain bernilai RM45,629.

Syed Mohamed turut memberikan penghargaan kepada anggota pekerja kumpulannya yang menjadi petugas barisan hadapan termasuk yang bertanggungjawab untuk penyelenggaraan dan keselamatan bangunan, anggota kerja sokongan yang mengendalikan perkhidmatan penyediaan dan penghantaran makanan melalui restoran KFC dan Pizza Hut.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada petugas kesihatan Klinik Waqaf An-Nur selain klinik dan Hospital Pakar KPJ Healthcare di seluruh negara. – BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button