Agama

Jangan paksa diri, jaga kesihatan sebelum hari wukuf

JEMAAH haji dinasihatkan agar tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan, apatah lagi menjelang Hari Wukuf, tidak lama lagi.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman cuaca yang terlampau panas dan kering hingga mencecah suhu 50 darjah Celsius, memudahkan jemaah haji dijangkiti penyakit.

“Saya mahu menasihati jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka, terutama di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jemaah haji juga perlu teliti barangan makanan yang dibeli… pastikan bersih dan basuh dulu buah-buahan sebelum makan.

“Dalam keadaan yang panas ini, kita harus menjaga diri supaya tidak terdedah kepada cuaca terlalu panas dan sentiasa meminum air secukupnya untuk mengelak pelbagai penyakit, termasuk strok haba,” katanya, lapor Bernama.

Dalam pada itu beliau memberitahu Malaysia berjaya memperoleh pengiktirafan dan menjadi negara pertama mendapat permit untuk hospital beroperasi bagi musim haji 1443H/2022.

Beliau berkata, berbanding negara lain, kecekapan Malaysia sentiasa diperakui Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan mereka sedia maklum bahawa petugas Lembaga Tabung Haji (TH) akan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

“Satu majlis serahan permit yang dikeluarkan ini telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada minggu lalu, dan ia dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini menunjukkan komitmen dan susun atur kerja yang cekap daripada KKM serta petugas perubatan TH. Ini juga menunjukkan bahawa TH dan KKM menitikberatkan persiapan menjaga kesihatan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia, di Makkah.

Syed Saleh berkata, kejayaan itu juga adalah bukti pasukan perubatan TH sentiasa menjalankan kerja secara tersusun dan komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.

“Pencapaian yang agak membanggakan kerana kita yang pertama (mendapat permit). Ia membuktikan pasukan perubatan kita membuat kerja tersusun dan komited sehingga memenuhi syarat, termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan.

“Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik,” katanya.

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button