fbpx
Politik

Jawatankuasa Pemilihan sahkan Dr. Mahathir Pengerusi Bersatu

TUN Dr. Mahathir Mohamad disahkan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah menang tanpa bertanding pemilihan parti itu.

Mengesahkan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia setelah proses penamaan calon-calon bertanding untuk pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selesai dan ditutup baru-baru ini.

Kemenangan Dr. Mahathir itu sekali gus menyangkal kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Februari lalu bahawa beliau yang juga Perdana Menteri kini memangku jawatan pengerus parti itu.

Syed Hamid Albar

“Justeru apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan tarikh mesyuarat baharu persidangan serentak 189 bahagian untuk memilih ahli MPT kelak, yang saya akan umumkan nanti hanya calon-calon yang telah disahkan bertanding jawatan-jawatan sahaja.

“Dr. Mahathir sudah menang jawatan pengerusi kerana tiada pencabar, sekali gus beliau menang tanpa bertanding,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.


Ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin pada 29 Februari itu, Syed Hamid berkata:
“Itulah yang saya sebutkan bahawa kedua-duanya kena duduk bersama membincangkan perkara ini (kedudukan pengerusi dan kemelut parti yang dilihat terbahagi dua).

“Tambahan pula lagi, Dr. Mahathir sudah menyatakan beliau bersetuju kembali sebagai Pengerusi Bersatu berkuat kuasa serta-merta. Mengenai urusan seterusnya, itu di luar bidang saya.”

Dalam satu kenyataan akhir Februari lalu, Muhyiddin berkata, beliau kini memangku jawatan Pengerusi Bersatu susulan keputusan Dr Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari.

Menurut Muhyiddin, tugas memangku jawatan tertinggi parti itu selaras Fasal 16.9 perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa jawatan pengerusi akan kekal kosong sehingga pemilihan semula diadakan.

“Jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baharu.

“Bersatu belum mengadakan pemilihan untuk memilih pengerusi yang baharu, justeru saya selaku presiden memangku jawatan Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan diadakan kelak,” kata beliau.

BACA

Kenyataan Muhyiddin pada 29 Februari itu mencetuskan lebih banyak persoalan.

Ini kerana pada 26 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Dr. Mohd. Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, mesyuarat MPT yang dipengerusikan Muhyiddin membuat ketetapan menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti.

Setiausaha Agung Bersatu ketika itu, Datuk Marzuki Yahya, pada hari berikutnya pula dilaporkan berkata keputusan mesyuarat MPT untuk menolak peletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai pengerusi parti sudah disampaikan dan dipertimbangkan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pada perbincangan yang menyaksikan ahli MPT berkunjung ke kediaman Dr. Mahathir di Seri Kembangan, Marzuki memaklumkan Dr. Mahathir bersetuju kembali sebagai Pengerusi Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Ketika sidang media selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi susulan penularan coronavirus (COVID-19) pada 27 Februari lalu, Dr Mahathir mengesahkan kembali menerima jawatan Pengerusi Bersatu selepas membuat pertimbangan ‘panjang lebar’ mengenainya.

Marzuki kemudiannya dalam kenyataan berasingan menjelaskan pemimpin yang mempunyai kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu adalah Dr. Mahathir selaku Pengerusinya, selari prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, katanya, segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir sebagai penyandang jawatan pengerusi.

“Mengikut Fasal 16.2, tugas-tugas pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti.

“Pengerusi juga mempunyai kuasa memanggil dan mempengerusikan mesyuarat MPT,” katanya.

Jawatan Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu kini diisi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pelantikan Hamzah diumumkan Muhyiddin dalam satu kenyataan bagi menggantikan Marzuki yang telah dihentikan daripada jawatan itu berkuat kuasa 18 Mac lalu. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button