Politik

Jawatan Speaker tidak harus terkesan pergolakan politik – MP Pembangkang

JAWATAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus berkecuali dan tidak sepatutnya terkesan dengan mana-mana pergolakan politik.

Sekumpulan AHLI Parlimen Pembangkang (MP) dalam satu kenyataan berkata, Parlimen merupakan institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat.

Justeru, Dewan Rakyat tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya
tanpa sebab munasabah.

“Kami ahli-ahli Parlimen dari parti-parti blok pembangkang, tidak bersetuju dan tidak menyokong cadangan penukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalannya kerana jawatan tersebut haruslah berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik,” kata mereka.dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (PKR), Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah) dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng (DAP).

Turut menandatangani kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Simpang Rengam Dr Maszlee Malik (Ahli Bersatu yang digugurkan);  Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong (Warisan), Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO) dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian (PSB).

Mereka tidak bersetuju tindakan kerajaan yang mahu menggugurkan jawatan Tan Sri Ariff Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan, mereka menegaskan, kedua-dua mereka telah berkhidmat dengan penuh sikap profesional sebagai pengelola dan timbang tara Dewan Rakyat.

Justeru tidak ada asas yang kukuh untuk menyingkirkan Ariff dan Kor Ming daripada jawatan tersebut.

Malah menurut mereka, sejak pelantikan Arif sebagai Sepaker Dewan Rakyat, pelbagai reformasi
dan penambahbaikan Parlimen telah dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.

“Langkah-langkah pembaharuan telah diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen.

“Antaranya termasuk menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas
Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Groups) untuk lebih merakyatkan Parlimen,” kata mereka.

Sebelum ini Mohamad Ariff  mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata, kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

“Terpulanglah kepada Dewan untuk memutuskannya mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Saya tiada masalah secara peribadi selagi proses demokrasi dan Perlembagaan dipatuhi,” katanya ringkas.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Telok Intan mengesahkan usul tersebut dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada 26 Jun lepas.-SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button