Negeri

Tak patuh SOP, lebih banyak taman rekreasi ditutup – MBSP

JIKA masih berdegil dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jangan terkejut atau marah sekiranya pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bertindak menutup lebih banyak taman rekreasi di Pulau Pinang.

Amaran ini dikeluarkan bagi memberi kesedaran kepada penduduk negeri itu agar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, sepanjang pemantauan, pihaknya mendapati masih ada segelintir masyarakat yang memandang ringan perkara tersebut sewaktu beriadah.

Rozali berkata, meskipun aktiviti seperti berjoging tidak mewajibkan pengunjung memakai pelitup muka (face mask) namun mereka perlu menjaga penjarakan fizikal sepanjang berada di kawasan riadah.

Menurut beliau, MBSP sebelum ini telah menutup taman rekreasi Vision Park di Bertam, Kepala Batas kerana pengunjung tidak memberi kerjasama serta tidak patuh pada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Saya telah bagi amaran untuk taman tumpu kerana taman tumpu di Seberang Jaya ini juga pengunjungnya tidak beri kerjasama.

“Saya beri masa seminggu. Jika taman ini pun masih ramai yang tidak patuhi SOP, taman ini akan jadi taman kedua yang pihak kita akan tutup,” tegasnya.

Beliau menambah: “Memang sewaktu berjoging tidak perlu memakai pelitup muka tetapi alat mainan, gim tidak boleh guna.

“Mana-mana kawasan yang kita ikat tali tape (pita larangan) janganlah dibuka. Yang berjoging perlu jaga penjarakan fizikal.

“Jika minggu depan masih lagi gagal patuhi SOP, saya akan ambil tindakan tutup taman ini dari digunakan untuk rekreasi.”

Tegas Rozali lagi, walaupun berada dalam zon kuning, MBSP masih membenarkan penduduk menjalani aktiviti sukan seperti biasa tetapi hendaklah patuh pada SOP  dalam usaha mengekang wabak Covid-19 merebak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pemantauan kerja disinfeksi di Blok A, Flat Tuna yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) siang tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo.

Situasi Covid-19 di Pulau Pinang merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 136 kes yang mana 122 kes pulih, 13 masih aktif dan satu kematian.

Sementara itu, Jagdeep Singh berkata, sejak terdapat kes baharu di Pulau Pinang pada 8 Ogos lepas, pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan dipertingkatkan semula dengan tumpuan diberikan di semua kemudahan awam.

“Kita lihat ada kluster dari negeri lain datang ke Pulau Pinang dan oleh itu saya telah ambil keputusan, kedua-dua  PBT iaitu MBPP dan MBSP untuk meningkatkan usaha pemantauan sepertimana sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan yang asal.

“Walaupun ketika ini kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, kita tak akan ambil mudah dan akan tingkat pemantauan disemua tempat dinegeri ini,” kata Jagdeep Singh. – ASTRO AWANI – SM

(Visited 569 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button