Uncategorized

JAS serbu kilang proses e-waste di Bebar, Pekan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan satu operasi bersepadu pada 18 Januari 2025, ke atas sebuah
premis kilang haram yang menjalankan pemprosesan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste) di Mukim Bebar, Daerah Pekan, Pahang.

Operasi ini turut melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk Unit Penguatkuasaan Negeri
Pahang (UPNP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM).

Premis tersebut disyaki terlibat dalam pemprosesan sisa elektronik melalui kaedah peleburan yang telah menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekitar, termasuk kawasan jalan utama Lebuhraya Kuantan-Segamat.

Seorang pekerja warga asing telah ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan lanjut.

Di samping itu, dianggarkan sebanyak 54 tan buangan terjadual telah disita oleh JAS dalam operasi ini. Tindakan penahanan operasi kelengkapan turut dikenakan ke atas premis tersebut bagi mencegah premis daripada terus beroperasi.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun dan denda maksimum sehingga RM 10 juta jika sabit kesalahan.

Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke
[email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di http://eaduan.doe.gov.my. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button