Politik

Pelarian Rohingya: Jangan bercakap setelah hilang kuasa

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyidir pihak yang mahu menjadi juara dalam memperjuangkan isu pelarian Rohingya di Malaysia.

Menurutnya, pihak berkenaan digesa agar tidak ‘bercakap’ setelah hilangnya kuasa berkaitan pelarian Rohingya di Malaysia yang ibarat panglima ayam jantan yang kuat berkokok berderai-derai sedangkan ekornya berlumuran tahi

Jelas Abdul Hadi, langkah yang diambil oleh pihak keselamatan menyampaikan bantuan bekalan dan menghalang kapal pelarian Rohingya masuk ke Malaysia dalam suasana seluruh dunia diserang bencana wabak Covid-19 adalah perkara yang wajar dilakukan.

“Tindakan itu mengambil kira aspek kemanusiaan dengan menghulurkan bekalan, dan menghalang dengan bersopan kerana maslahat menjaga keselamatan negara.

“Khususnya dalam keadaan luar biasa yang sangat mencabar di waktu berlakunya wabak, apabila kawasan daerah sehinggalah kampung dalam negara sendiri pun dikawal sempadan bagi mencegah wabak yang lebih besar bahaya, tanpa mengira agama dan bangsa,” kata Abdul Hadi.

Sebelum ini beberapa pihak terutama ahli politik pembangkang mempertikaikan langkah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan 200 pendatang tanpa izin Rohingya memasuki perairan negara pada 17 April lalu.

Langkah tersebut terpaksa diambil kerana pihak berkuasa bimbang kumpulan warga asing yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau laut akan membawa kluster baru Covid-19 ke negara ini.

Sementara itu Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan sahaja kelakuan kerajaan Myanmar yang menyekat hak beragama dan berpolitik kepada rakyatnya di tanah air.

“Langkah sebenar adalah menghalang penghapusan etnik dan tindakan memaksa rakyat Rohingya kerana faktor agama dan kaum, bukannya menghalalkan tindakan Myanmar dengan membuka pintu untuk terus dihalau dan dijadikan pelarian secara terbuka seolah-olah memudahkan tindakan yang salah itu.

“Menerima pendatang adalah tindakan kemanusiaan sementara dan terhad yang wajib ditanggung secara bersama oleh masyarakat antarabangsa mengikut piagam antarabangsa, bukan negara Malaysia sahaja,” kata Abdul Hadi.

Menurutnya, kaum Rohingya tidak seharusnya dibiarkan menjadi pelarian selamanya dengan tanah tumpah darah mereka diserahkan kepada regim Myanmar yang zalim. Masyarakat antarabangsa perlu memastikan pelarian kembali semula ke tanah air asal mereka.

Jelas Abdul Hadi, Arakan adalah wilayah kaum muslimin Rohingya sejak beberapa abad yang lalu menjadi penduduk asal menganut Islam. Hak beragama adalah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa tetapi dinafikan kepada kaum Rohingya termasuklah hak berpolitik di bumi tempat mereka dilahirkan dan berpijak.

“Semua pihak yang hanya pandai mengkritik sepatutnya menyuluh diri sendiri terlebih dahulu dan mengkaji sejarah di tempat asal mereka, bagaimana cara bertindak terhadap pelarian dan apakah layanan mereka terhadap pendatang.

“Jangan bercakap setelah hilangnya kuasa, laksana panglima ayam jantan yang kuat berkokok berderai-derai, sedangkan ekornya berlumuran tahi,” sindir Abdul Hadi.-SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button