Politik

Politik Melaka tenang dalam gelora

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 9 Mei – Politik Melaka diibaratkan tenang dalam gelora!

Itulah situasi yang berlaku sejak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
November tahun lalu. BN membuat kejutan apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN).

Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang dipilih sebagai ‘poster boy’ dalam PRN Melaka menepati ramalan buat BN
merampas kembali pemerintahan negeri ini.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13, di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka,
pada 21 Nov tahun lalu, selepas BN memenangi PRN Melaka.

Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai ketua menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke
jawatan berkenaan, pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik ketua menteri Melaka ke-11,
pada 11 Mei 2018.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum PRN Melaka telah mengumumkan Sulaiman
adalah calon ketua menteri jika BN menang.

Malah beliau menegaskan tidak ada jawatan ketua menteri sementara sebaliknya sesiapa yang memegang jawatan
itu mestilah sehingga habis penggal.

Namun kemelut pelantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri kurang disenangi ada pihak-pihak tertentu. Dalam
diam sudah ada desakan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu harus meletakkan jawatan.

Situasi itu semakin serius apabila baru-baru ini sebuah akaun Facebook memuat naik dakwaan yang kononnya
Sulaiman telah dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Dakwaan itu dilihat seperti tidak masuk akal. Namun hakikatnya itulah situasi politik Melaka nampak tenang
dalam gelora.

Hasan Abd. Rahman.

Kemelut itu mendapat perhatian daripada beberapa Ketua UMNO Bahagian iaitu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad
(Tangga Batu), Datuk Hasan Abd. Rahman (Jasin), Datuk Rospandi Leman (pemangku Alor Gajah) dan Datuk Mohd.
Ridhwan Tun Ali (Hang Tuah Jaya).

Namun bagi Abdul Razak Abdul Rahman (Kota Melaka) pula enggan mengulas mengenai dakwaan terbabit.

Mereka berpendirian tegas berdiri teguh di belakang Sulaiman malah mempertahankan kedudukannya untuk terus
kekal menjadi ketua menteri sehingga habis penggal.

Menjawab dakwaan akaun Facebook itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad
Ali Mohamad lantas menafikan Sulaiman dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan tersebut malah
beliau bersama empat bahagian lain mempertahankan ADUN Lendu itu untuk terus kekal sehingga habis tempoh
jawatannya.

Mohamad Ali Mohamad.

Kata Mohamad Ali pada Sabtu lepas, khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan
jawatan itu disifatkan sebagai fitnah dan tidak berasas.

Menurutnya, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang
jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Beliau berkata, lima ketua bahagian itu adalah Jasin, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota
Melaka.

Tegasnya, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu PRN Melaka, pucuk pimpinan UMNO dan
semua ketua bahagian telah bersetuju meletakkan Sulaiman sebagai teraju negeri ini.

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menegaskan sebelum ini tidak ada Ketua Menteri
sementara dan tidak ada orang akan menggantikan Sulaiman.

“Kita mengharapkan beliau akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal. Ini
adalah pendirian saya dan seluruh ketua bahagian.

“Saya harap selepas ini tidak akan timbul desas-desus yang mengatakan ada orang akan menggantikan Sulaiman
seperti mana dilaporkan sebuah portal,” katanya dalam sidang akhbar pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu di sini, Sabtu lepas.

Mohamad Ali berkata, beliau sendiri akan ke hadapan menentang, jika benar terdapat kumpulan yang berhasrat
menyingkirkan Ketua Menteri Ke-13 itu.

Rospandi Leman.

Namun bagi Rospandi pula berkata beliau tidak menafikan ada paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman
menandatangani surat itu, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan pihak yang dikatakan menjadi dalang dalam isu berkenaan.

Sama ada benar ada dalang ataupun tidak, itu adalah hakikat sebenarnya berlaku dalam politik negeri ini.

Jika isu ini tidak segera diatasi, keadaan ini boleh menyebabkan rakyat marah selepas mereka memilih BN
untuk menerajui pemerintahan negeri ini.

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button